Monday, March 4, 2024

Hazran Mohamed dilantik sebagai Pengerusi Koperasi Penyokong Kelab Bola Sepak Kerteh Berhad

KOPERASI Penyokong Kelab Bola Sepak Kerteh Berhad (KPKBKB) telah mengadakan Mesyuarat Agung Permulaan di Dewan Sivik Kerteh baru-baru ini.

Seramai 57 orang telah menghadiri mesyuarat ini yang bertujuan untuk melantik Ahli Lembaga Koperasi, (ALK), membentuk serta meluluskan undang-undang kecil KPKBKB.

Hazran Mohamed yang juga anak jati Kerteh, telah dilantik sebagai Pengerusi KPKBKB bersama lima lagi Ahli Lembaga Koperasi yang dipersetujui secara sebulat suara oleh semua yang hadir pada mesyuarat tersebut.

Hazran juga merupakan Pengerusi Hazara Learning Sdn Bhd dan Pengerusi KMF We Malaysia Sdn Bhd yang berpangkalan di Paris, Perancis serta Ahli Lembaga Pengarah Integrated Media Technology Limited yang berpangkalan di Adelaide, Australia.

Beliau turut pernah menjadi Ahli Lembaga Pengarah FELCRA Properties Sdn Bhd, mempunyai pengalaman dalam sektor korporat selain pernah menjadi Ahli Lembaga Koperasi Alumni Bestari Universiti Malaya bagi sesi 2010-2015 yang lalu.

Pihak pengurusan Kerteh FC mengucapkan tahniah atas penubuhan Koperasi Penyokong Kelab Bola sepak Kerteh Berhad dan pelantikan semua Ahli Lembaga Pengarah.

Satu lagi sejarah baharu dicipta dan satu lagi ‘Lompatan Saujana’ dilakukan oleh Kerteh FC demi untuk komuniti dan warga Kerteh.

Selain itu 5 Ahli Lembaga Koperasi yang dilantik adalah Dayang Ku Ayu Mustapha, Mohamad Fariz Mohamad Kamis, Che Muhammad Bukhari Che Mohd Razali, Wan Muhammad Iqbal Wan Ibrahim dan Muhammad Yunus Zakariah. – REFLEKS!

Baca ini > Kerteh FC cipta sejarah kelab bola sepak pertama tubuh koperasi