Monday, March 4, 2024

CBP rasmi cawangan Kuching II dan Sandakan

CO-OPBANK Pertama (CBP) hari ini merasmikan dua (2) buah cawangan secara serentak di Sandakan, Sabah bagi cawangan ke-32 dan Kuching, Sarawak bagi cawangan ke-33 hari ini.

Perasmian cawangan Sandakan telah disempurnakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), Tuan Rusli Bin Jaafar. Manakala bagi cawangan Kuching II pula telah dirasmikan oleh Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif SKM, Encik Amran Abd Kadir.

Turut hadir ke majlis berkenaan adalah Pengerusi CBP, Datuk Baharom bin Embi; Timbalan Pengerusi CBP, Puan Hajjah Nor Hidayah Omar serta Anggota Lembaga CBP; Ketua Pegawai Eksekutif CBP, Encik Khairil Anuar Mohammad Anuar, Pengurusan Kanan CBP, wakil-wakil agensi kerajaan dan koperasi serta rakan strategik yang lain.

Datuk Baharom berkata, pembukaan kedua-dua cawangan ini adalah untuk memenuhi keperluan masyarakat setempat selain seiring dengan perancangan strategik CBP untuk mengembangkan lagi perniagaan di kedua-dua negeri berkenaan.

“Cawangan Kuching II ini merupakan cawangan CBP yang ketiga di negeri Sarawak selepas di Jalan Kulas, Kuching dan Miri. Manakala, cawangan Sandakan adalah cawangan yang ketiga di Sabah selepas Kota Kinabalu dan Tawau. CBP juga merancang untuk membuka satu lagi cawangan di Papar, Sabah pada suku kedua tahun ini.

“Selain itu beberapa cawangan lain juga dijangka akan dibuka pada tahun 2024 iaitu di Jerteh, Terengganu; Batu Pahat, Johor serta Bangi, Selangor sejajar dengan strategi CBP untuk membawa produk dan perbankan terus kepada masyarakat di negara ini,” katanya, menerusi satu kenyataan.

Tambah Datuk Baharom lagi, CBP komited terhadap perancangan yang digariskan di dalam Pelan Strategik CBP 2022-2026 untuk memiliki 36 buah cawangan di seluruh negara dapat dicapai dengan jayanya.

CBP berharap dengan pertambahan cawangan di Sabah dan Sarawak, penduduk setempat dapat memberi sokongan sepenuhnya kepada produk dan perkhidmatan yang ditawarkan selain anggota dan pelanggan sedia ada dapat menjalankan urusan dengan mudah. – REFLEKS! 

Baca ini > CBP buka cawangan ke-31 di Miri