Monday, March 4, 2024

HLISB jalin kerjasama dengan Andalusia untuk meningkatkan pengalaman Umrah umat Islam

DALAM usaha menyediakan pembiayaan mudah, digital dan patuh Syariah untuk umat Islam yang ingin menunaikan ibadah Umrah mereka, Hong Leong Islamic Bank (HLISB) telah melancarkan satu kolaborasi dengan Andalusia Travel & Tours (Andalusia) dengan menandatangani sebuah Memorandum Persefahaman. Melalui kerjasama ini, HLISB akan melengkapkan pakej Umrah Andalusia dengan rangkaian produk perbankan Islam yang komprehensif, sejajar dengan komitmen Bank untuk menegakkan nilai Islam dalam sistem perbankan dan memenuhi keperluan gaya hidup pelanggan Muslim yang pelbagai.

Kerjasama ini membolehkan umat Islam yang merancang ziarah Umrah untuk membiayai perjalanan mereka mengikut prinsip Syariah dengan menggunakan tawaran kewangan HLISB, khususnya Pembiayaan Peribadi-i dan Akaun Pay & Save-i. Produk dan perkhidmatan patuh Syariah holistik HLISB memenuhi pelbagai keperluan gaya hidup, melengkapkan umat Islam dengan penyelesaian kewangan yang khusus, digital dan diperibadikan.

Dafinah Ahmed Hilmi, Ketua Pegawai Eksekutif HLISB, menekankan komitmen Bank untuk mereka membentuk penyelesaian kewangan yang memenuhi keperluan gaya hidup khusus pelanggan Islamnya.

“Sebagai pengantara kewangan, kami komited untuk membentuk penyelesaian kewangan yang memenuhi gaya hidup pelanggan masing-masing, selaras dengan janji kami untuk menjadi Bank yang berpusatkan keperluan pelanggan. Dalam mengembangkan keupayaan Syariah kami, kami ingin menyediakan pelbagai produk dan perkhidmatan inovatif yang memastikan pelanggan Islam tidak perlu bimbang dan risau dalam memenuhi kewajipan agama mereka.”

“Komitmen ini juga dilanjutkan kepada usaha kami dalam menyediakan akses digital yang komprehensif melalui platform perbankan mudah alih, memudahkan pembayaran Zakat dalam talian, dan membentangkan peluang pengurusan kekayaan melalui Akaun Pelaburan Berjangka-i dan pembiayaan ASNB. Didorong oleh falsafah mengetengahkan pelanggan, kerjasama kami dengan Andalusia menandakan satu langkah penting ke arah menyampaikan nilai tambah kepada pelanggan. Kerjasama strategik ini dapat menangani keperluan pelanggan secara aktif, memperkasakan umat Islam untuk menunaikan kewajipan agama mereka dengan lancar.”

Sebagai sebahagian daripada kerjasama HLISB dengan Andalusia, yang merupakan agensi Umrah dan pelancongan yang beroperasi dalam sektor pelancongan Islam selama lebih 20 tahun, Bank akan menawarkan Akaun Pay & Save-i dan Pembiayaan Peribadi-i kepada semua yang ingin menunaikan ibadah Umrah.

Pembiayaan Peribadi-i HLISB menawarkan pembiayaan patuh Syariah kepada pelanggan untuk menunaikan kewajipan agama mereka, yang disertakan dengan rebat untung “Bayar Tepat Masa” sebanyak 60% dan pin tambah nilai e-dompet Touch n Go RM50 dengan setiap permohonan yang berjaya*. Sementara itu, Akaun Pay & Save-i menyediakan keuntungan sehingga 4.15% setahun di atas baki akaun*. Akaun ini mempunyai ciri Mata Wang Pelbagai, yang mana ia membolehkan perbelanjaan mata wang asing dengan Kad Debit HLB, mengeluarkan mata wang asing daripada ATM luar negara, dan penukaran terus MYR kepada mata wang asing pada kadar yang kompetitif melalui HLB Connect.

Sepanjang 25 tahun yang lalu, jumlah jemaah Umrah dari Malaysia telah meningkat sebanyak anggaran 900%. Ini mencerminkan pertumbuhan yang ketara dalam minat menunaikan ibadah Umrah sejak mencatatkan jumlah 30,000 jemaah pada tahun 1998. Hak istimewa pelancong Malaysia yang diberi oleh kerajaan Arab Saudi, seperti menggantikan visa Umrah dengan visa pelancong, telah menurunkan harga pakej Umrah, dan menjadikan tempahan perjalanan Umrah lebih mudah dan fleksibel.

Hajah Ida Riswana binti Idris, Pengarah Andalusia Travel & Tours, berkongsi bagaimana kerjasama ini boleh mendatangkan faedah kepada semua pihak dengan memanfaatkan pangkalan pelanggan yang besar.

“Misi kami di Andalusia adalah untuk menyediakan perkhidmatan umrah yang berpatutan dan berkualiti kepada masyarakat Islam, dengan harapan setiap umat Islam dapat menunaikan kewajipan agama mereka tanpa perlu bersusah payah dan bimbang. Kerjasama dengan HLISB ini memastikan pelanggan kami dapat akses kepada pembiayaan ibadah Umrah yang patuh Syariah, digital dan harga berpatutan dengan rangkaian alat dan perkhidmatan kewangan yang holistik. Kami percaya bahawa ini akan memberi lebih banyak peluang kepada masyarakat Islam untuk mengurus kewangan mereka dengan berkesan dalam era digital hari ini, sambil menunaikan kewajipan agama mereka dengan asas kewangan patuh Syariah.”

Selain daripada Akaun Pay & Save-i dan Pembiayaan Peribadi-i, HLISB juga menawarkan peluang pengurusan harta yang kompetitif melalui Akaun Pelaburan Berjangka-i dan dalam pembiayaan ASNB, dan kedua-duanya boleh diakses sepenuhnya pada platform perbankan mudah alih HLB Connect. Selain itu, Bank juga menyediakan perkhidmatan pembayaran Zakat atas talian, dan pelanggan juga boleh melengkapkan Wasiat mereka sepenuhnya atas talian melalui platform HLB Connect, memanfaatkan perancangan legasi sehenti Bank dan perkhidmatan e-Wasiat yang kompetitif. – REFLEKS!

Baca ini > Pakej Umrah Rahmah, agensi pelancongan diseru beri sokongan