Monday, March 4, 2024

Jadikan Outlet Di Melaka Paling Berprestasi, Pekerja Cemerlang Mamee Dapat Hadiah Tesla

Sudah menjadi lumrah sesebuah syarikat mengadakan majlis makan malam tahunan untuk menghargai para pekerja yang bertungkus-lumus memastikan operasi berjalan lancar.

Baru-baru ini sebuah syarikat tempatan, Mamee-Double Decker (M) Sdn. Bhd (Mamee) telah menghadiahkan sebuah Tesla Model 3 kepada salah seorang pekerja cemerlang mereka.

Memetik laporan China Press, syarikat itu telah mengadakan majlis makan malam tahunan di The Vertical (VE Hotel & Residence) Connexion Conference & Event Centre (CCEC) di Kuala Lumpur. Seramai 550 kakitangan telah menghadiri majlis tersebut.

Difahamkan pekerja bertuah itu, Xiang Xiaohui Shelby, merupakan Timbalan Pengurus di Mamee Jonker House, Jonker Street, Melaka. Beliau membawa pulang kereta Tesla itu yang berharga sekitar RM200,000.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Mamee menyatakan Mamee Jonker House yang terletak di Jonker Street itu telah menarik ramai pelancong dan pengguna dari pelbagai negara sejak beberapa tahun lalu. Sekaligus ia menjadi salah satu outlet berprestasi terbaik syarikat itu.

Tambah beliau, Shelby memainkan peranan penting dalam mengembangkan jenama syarikat dalam pasaran domestik dan juga antarabangsa, yang mendapat pujian ramai.

Memetik laporan itu lagi, majlis makan malam itu diadakan untuk menghargai pekerja-pekerja yang berprestasi cemerlang. 45 kakitangan telah dianugerahkan penghormatan tersebut.

Ada di antara 15 orang yang lain memenangi hadiah perjalanan ke luar negara termasuk perjalanan ke Korea Selatan. Manakala yang lain pula memenangi hadiah berupa wang tunai RM1,000.

Tahniah diucapkan kepada semua top performer serta seluruh warga kerja Mamee yang bertungkus lumus menjadikan snek makanan ringan pilihan orang ramai.

Kredit: Vocket | Hazim Jaafar