Saturday, April 13, 2024

Wings: The Rock Emperor Penang Chapter pengubat derita tiket habis!

Konsert Wings: The Rock Emperor Penang Chapter boleh disifatkan sebagai satu konsert pengubat derita kerana ia diadakan khas buat peminat Wings.

Hal ini demikian kerana pada Wings The Rock Emperor yang diadakan di Stadium Malawati, Shah Alam, ada peminat yang mengadu tidak sempat membeli tiket.

Maka Konsert Wings: The Rock Emperor Penang Chapter diadakan bagi memberi peluang untuk para peminat sama-sama melayan irama keras dari Wings.

Vokalis kumpulan itu, Datuk Ahmad Azhar Othman atau lebih mesra dengan sapaan Datuk Awie memaklumkan, konsert itu akan tampil sedikit unik dan berbeza.

“Peminat yang membeli tiket berpeluang untuk memenangi hadiah istimewa. Beli tiket untuk hadir menonton, kemudian gores dan menang.

“Ada 700 hadiah akan diberikan kepada peminat yang bertuah sama ada mereka membeli tiket berharga RM95 atau RM315,” katanya.

Awie berkata demikian dalam satu sidang media Wings : The Rock Emperor Penang Chapter yang diadakan di Maristar, The Starhill.

Ujar Awie, untuk hadiah kepada para peminat bertuah, ia mungkin terdiri daripada t-shirt, penginapan di Hard Rock Hotel atau barangan prelove seperti gitar.

Dari segi lagu yang akan dimainkan, Awie memaklumkan Wings membuka ruang untuk para peminat memilih lagu-lagu yang ingin mereka dengari.