Tuesday, February 27, 2024

Kapal OPV1 mulakan rondaan sulung di perairan Sarawak

SELEPAS diserahkan kepada Agensi Pengkuatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) pada 2 Januari yang lalu, Kapal Peronda Luar Pesisir Pertama (OPV1) secara rasmi memulakan pengoperasian pertamanya dengan melakukan pemantauan di kawasan perairan Sarawak.

Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN), Datuk Haji Ruji bin Haji Ubi memaklumkan, pengoperasian sulung Kapal OPV1 ini dijangka akan memperkukuhkan keselamatan Zon Maritim Malaysia (ZMM) khususnya di kawasan Laut China Selatan yang menjadi tumpuan aktiviti ekonomi dan laluan kapal-kapal dagang yang menghubungkan dari bahagian selatan ke bahagian utara laut berkenaan.

Jelasnya, keberadaan Kapal OPV1 ini mampu memenuhi matlamat operasi penguatkuasaan Maritim Malaysia iaitu konsep deterrent bagi mengekang pencerobohan kapal-kapal asing. Kapal OPV1 akan menjadi kapal induk kepada bot-bot peronda Maritim Malaysia yang akan melakukan rondaan penguatkuasaan di kawasan yang menjadi tumpuan nelayan asing menceroboh masuk ke laut negara bagi melakukan aktiviti penangkapan ikan.

Ujar beliau lagi, kehadiran Kapal OPV1 juga bertujuan untuk mengurangkan risiko syarikat carigali dan petroleum menjadi sasaran kes rompakan di laut memandangkan kapal berkenaan berkeupayaan untuk melakukan operasi di laut dalam jangka masa 21 hari tanpa ulang bekal.

Beliau berkata demikian selepas melakukan lawatan dan tinjauan pengoperasian kapal berkenaan di sini hari ini.

Turut hadir sama Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Hamid bin Mohd Amin dan Pengarah Maritim Negeri Sarawak, Laksamana Pertama Maritim Zin Azman bin Md Yunus.

Selain Kapal OPV1, Maritim Malaysia turut bakal melaksanakan perolehan bagi 10 buah aset strategik maritim seperti yang telah diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam pembentangan Belanjawan 2024 yang lalu.

Mengulas lanjut berkaitan status Kapal OPV2 dan OPV3, Ruji memaklumkan bahawa perkara berkenaan akan diangkat ke peringkat Menteri Kabinet.

Beliau terdahulu memaklumkan, Majlis Penamaan OPV1 ini dijadualkan akan disempurnakan oleh isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail dalam masa yang terdekat. – REFLEKS!

Baca ini > Harungi 750 batu nautika demi Eksesais Maritim Perkasa Barat