Tuesday, February 27, 2024

Simpanan Tabung Haji ibu lesap ditipu anak 15 tahun

SEORANG pelajar Tingkatan 3 disyaki bersekongkol dengan dua rakan untuk menipu ibu kandungnya, kononnya dia ditahan ‘polis’ dan memerlukan RM25,000 untuk melepaskannya selepas menghilangkan diri dari rumah, pada 27 November lalu.

Lebih menyedihkan, wang hasil penipuan licik itu adalah hasil simpanan Tabung Haji wanita terbabit dan dikatakan habis dibelanjakan oleh ketiga-tiga suspek untuk berjoli termasuk ke Genting Highlands.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Arshad Abu, berkata terdahulu pihaknya menerima laporan dibuat wanita terbabit yang juga pembantu klinik berusia 58 tahun, pada 2 Disember lalu.

Berdasarkan laporan, katanya, pengadu mendakwa anak tunggalnya berusia 15 tahun didapati tiada di rumah mereka di Masjid Tanah, Melaka, sejak 27 November lalu.

“Selepas beberapa hari menunggu dan anaknya masih tidak pulang ke rumah, wanita itu kemudian pergi berjumpa dengan rakan sekolah anaknya dikenali sebagai Acap.

“Remaja 17 tahun itu memberitahu anak pengadu sedang ditahan polis dan perlu membayar sejumlah wang untuk membebaskannya,” katanya dalam satu kenyataan.

Arshad berkata, wanita terbabit yang terpedaya dan bimbang keselamatan anak tunggalnya itu kemudian pergi ke Tabung Haji cawangan Masjid Tanah pada 29 November lalu dan mengeluarkan wang berjumlah RM25,000 sebelum diserahkan kepada Acap.

“Wanita itu kemudian membuat semakan pada 1 Disember lalu di Balai Polis Seremban melalui adik iparnya dan terkejut mendapati tiada sebarang tangkapan dibuat atas nama anaknya.

“Ketika itulah mangsa tersedar dan mengesyaki ditipu oleh Acap sebelum membuat laporan,” katanya.

Beliau berkata, siasatan lanjut polis membawa kepada penahanan tiga suspek termasuk anaknya yang dipercayai bersubahat dengan Acap dan seorang lelaki berusia 29 tahun yang berperanan menyamar polis.

“Ketiga-tiga suspek akan dituduh di Mahkamah Majistret Alor Gajah mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 109 kanun sama,” katanya. – REFLEKS!