Tuesday, February 27, 2024

Kehilangan Bella: Keputusan DNA diketahui minggu depan

KELUARGA kepada Mila Sharmila Samsusah, 32, atau Bella perlu menunggu selewat-lewatnya minggu depan bagi mendapatkan keputusan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) sama ada rangka ditemui Kampung Batu 7, Tongkang Pechah, Johor petang kelmarin milik Bella atau sebaliknya.

Proses bedah siasat ke atas rangka ditemui itu sudah dijalankan di Jabatan Forensik Hospital Sultan Ismail (HSI), Johor Bahru, pagi semalam.

Menurut kakaknya, Norhisham, 36, dia sekeluarga dimaklumkan mengenai keputusan itu selepas berhubung dengan polis.

“Kami dimaklumkan, keputusan itu (ujian DNA) sama ada minggu ini atau minggu depan,” katanya ditemui selepas melawat lokasi penemuan rangka itu, hari ini.

Terdahulu, emak Bella, Noraini Salleh, 55, bersama beberapa ahli keluarga lain turun ke lokasi untuk melihat sendiri tempat penemuan rangka terbabit.

Difahamkan, rangka terbabit ditemui dalam bilik di belakang rumah terbiar susulan penahanan seorang suspek pada pagi hari penemuan itu.

Mereka sekeluarga meluangkan masa kira-kira setengah jam untuk meninjau lokasi itu dan masing-masing kelihatan sayu sebaik melihat tempat penemuan rangka itu.

Sebelum ini, polis memberitahu pihaknya juga sudah mengambil DNA daripada Norhisham atau lebih dengan panggilan Ayu serta emaknya bagi tujuan padanan dengan rangka ditemui pada jam 2 petang Jumaat lalu.

Semalam, Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah memberitahu, sampel patologi dari Jabatan Forensik HSI juga sudah diambil dan dihantar ke Jabatan Kimia untuk perbandingan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) bagi mengenal pasti identiti si mati.

Rangka terbabit ditemui bersama cebisan kain selepas salah seorang suspek ditahan sebelum dipandu ke lokasi penemuannya.

Namun, sehingga kini belum disahkan sama ada rangka ditemui itu adalah Bella atau individu lain.

Bella yang juga ibu tunggal belum ditemui selepas dilaporkan hilang pada malam 14 Disember lalu.

Setakat ini, polis sudah menahan tiga individu berusia 24 hingga 39 tahun bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Ketiga-tiga individu terbabit yang disyaki ada kaitan dalam kejadian ini sudah direman hingga 27 Januari ini. — Berita Harian

Baca ini > 2 warga asing ditahan, disyaki bunuh rakan sekerja di kebun durian