Monday, March 4, 2024

MARA mulakan langkah takrif semula kategori B40, M40, T20

MAJLIS Amanah Rakyat (MARA) akan membuat penakrifan semula kategori B40, M40 dan T20 dengan mengambil kira tanggungan anak-anak, orang tua serta demografi bandar dan luar bandar.

Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, definisi pengkelasan itu perlu ditakrifkan semula dengan tidak hanya melihat aspek pendapatan isi rumah sahaja.

“Definisi B40, M40 & T20 perlu ditakrifkan semula. Tidak wajar hanya dilihat aspek pendapatan isi rumah sahaja.

“Perlu ambil kira tanggungan seperti anak-anak, orang tua dan faktor bandar-luar bandar. MARA akan mulakan,” katanya menerusi Facebook beliau hari ini.

Ada ahli ekonomi berpendapat bahawa pengkelasan pendapatan berdasarkan kategori B40, M40, dan T20 adalah kurang wajar berikutan kaedah itu bersandarkan kepada jumlah pendapatan isi rumah secara kasar semata-mata tanpa melihat komitmen yang ditanggung mereka.

Ini kerana dalam menilai garis kemiskinan, pelbagai faktor seharusnya diambil kira termasuklah saiz keluarga dan juga kuasa beli sesebuah isi rumah.

Pada masa kini pengkelasan B40, M40, dan T20 berdasarkan pendapatan isi rumah di Malaysia.

Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki

B40 mewakili 40 peratus pendapatan terendah, M40 mewakili 40 peratus pendapatan pertengahan manakala T20 mewakili 20 peratus pendapatan isi rumah paling tinggi di Malaysia.

Pada Mei tahun lalu, Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli dilaporkan berkata, kerajaan akan mula melaksanakan peralihan dasar sosioekonomi daripada pendekatan berasaskan pendapatan B40, M40 dan T20 kepada berasaskan pendapatan boleh belanja bersih isi rumah, bermula Januari 2024.

Menurut beliau, pendapatan boleh guna atau turut dikenali sebagai pendapatan selepas ditolak cukai dapat memberi gambaran yang lebih baik dalam mengukur kemampuan kewangan sesebuah isi rumah untuk berbelanja, menyimpan dan juga membuat pelaburan. – REFLEKS!

Baca ini > Sumbangan Asas RAHMAH 2024: RM700 juta untuk 700,000 penerima