Monday, March 4, 2024

BYD masuki pasaran Indonesia, bakal bina kilang berkapisiti pengeluaran 150,000 unit setahun

BYD rasmi memasuki pasaran Indonesia menerusi pelancaran rasmi model Atto 3, Dolphin, dan Seal, minggu lalu. Namun, harga dan jualan rasmi ketiga-tiga model tersebut masih belum diumumkan.

Menurut Pengarah Operasi, BYD Motor Indonesia, Nathan Sun, ketiga-tiga model tersebut sudah menggunakan bateri blade lithium iron-phosphate (LFP), dengan e-Platform, dan Teknologi CTB (cell-to-body).

“Dengan bateri blade ini, kami jamin boleh menempuh 1.2 juta kilometer. Selain itu, keselamatan yang kami utamakan dan komitmen memberikan usia bateri yang panjang,” katanya.

Di samping itu, BYD turut mengumumkan pembinaan kemudahan pemasangan di Indonesia. Perkara itu diumumkan Menteri Koordinator Bidang Perekonomian, Airlangga Hartarto.

Pengeluar kereta elektrik (EV) China tersebut akan melabur USD1.3 bilion (RM57.8 bilion) dengan kapasiti pengeluaran 150,000 setahun.

Pengurus Besar BYD Asia Pasifik, Liu Xueliang berkata kilang BYD di Indonesia akan dibangunkan tahun ini. Ketika ini, Liu mengakui pihaknya sedang menjalankan kajian untuk pembangunan kilang di negara jiran tersebut.

“Kalau kami buka kilang di sini, harus mengutamakan pasaran lokal sebanyak mungkin,” katanya.

Tiga model BYD iaitu Atto 3, Dolphin, dan Seal diimport dari China untuk permulaan.  Kerajaan Indonesia akan mengawal cukai import EV yang mana pengecualian cukai hanya terpakai kepada pengeluar automotif yang komited untuk membina kilang di negara itu.

“Kita tidak buka import EV, kita beri insentif hanya kepada bakal pelabur. Jadi, kalau tiada pelaburan di sini, jadi kemasukannya sama, kita tidak akan relaks,” kata Menteri Koordinator Bidang Kemaritiman dan Investasi, Luhut Binsar Pandjaitan. – REFLEKS!

Baca ini > BYD Dolphin: Why It Should Be Your First EV