Saturday, April 13, 2024

MAIWP Lakukan Proses Pemutihan, Naikkan Kadar Pembayaran Zakat

Kuala Lumpur: Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) sudah memulakan semakan semula bagi menaikkan kadar pembayaran zakat kepada golongan asnaf.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, langkah itu dilihat sejajar dengan peningkatan kos sara hidup rakyat terutama golongan asnaf yang memerlukan pelbagai bantuan hasil saluran penerimaan zakat.

“Saya dimaklumkan bahawa MAIWP sudah menaikkan kadar pembayaran zakat dan pada Jun ini kita bakal perkenalkan kadar baharu berkenaaan.

“Pada masa sama, kita juga bakal melakukan proses pemutihan kerana saya mendapat maklumat terdapat golongan yang sudah terlepas daripada kategori asnaf.

“Namun, pembayaran zakat masih dikreditkan dan mereka hanya diam sahaja. Jadi, hasil pemutihan ini kita dapat memberikan zakat kepada mereka yang amat memerlukan,” katanya di sini, selepas Program Ziarah Asnaf Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Siri 1/2024 di Perumahan Awam Sri Selangor, semalam.

Pada program itu Mohd Na’im melawat dan menyerahkan bantuan Maiwp kepada tiga penerima asnaf.

Beliau turut menyerahkan ambulans kepada Bulan Sabit Merah Malaysia Kuala Lumpur (BSMMKL) hasil kelulusan sumbangan RM250,000 daripada MAIWP untuk digunakan BSMMKL bagi memberi khidmat perubatan kepada masyarakat.

Mengulas mengenai Program Ziarah Asnaf, katanya, ia adalah rutin setiap bulan dilaksanakannya sebagai platfom melihat sendiri kehidupan golongan asnaf yang mencabar di kawasan bandar.

“Meneurusi ziarah ini saya secara langsung dapat mengetahui jerih-perih kesusahan asnaf dan dapat mengetahui status bantuan yang diterima sama ada mencukupi atau masih memerlukan bantuan-bantuan lain yang belum diperoleh daripada MAIWP,” katanya.