Monday, March 4, 2024

3 lemas ketika mandi di kolam latihan tentera di Kuantan

IDENTITI tiga mangsa lemas di kolam latihan sebuah kem tentera di Temerloh petang semalam, dikenal pasti sebagai anak kepada anggota di kem terbabit.

Mereka ialah Amar Mukhlis Mohd Anizan, 13; Aiman Syafiq Sudirman, 11; dan Muhammad Shafiq Aswad Shahril Naim, 11.

Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mazlan Hassan, berkata kejadian itu diketahui selepas seorang rakan mangsa meminta tolong daripada anggota tentera sekitar 5.30 petang semalam.

“Pasukan tentera yang tiba di kolam itu menemukan tiga helai baju di tepi kolam. Hasil pencarian menjumpai mangsa pertama, Aiman Syafiq pada jam 5.55 petang, disusuli Muhammad Shafiq Aswad pada jam 6.10 petang, dan Amar Mukhlis lima minit kemudian.

“Kesemua mangsa dikejarkan ke pusat perubatan di kem, namun disahkan meninggal dunia oleh doktor di situ,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, malam semalam.

Mazlan berkata, bedah siasat akan dijalankan di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah, Temerloh, hari ini, sebelum jenazah diserahkan kepada keluarga untuk dikebumikan di Bachok dan Pasir Puteh, Kelantan.

Beliau berkata, lokasi kejadian adalah kawasan larangan dan pihak tentera telah menutup tempat itu.

Hasil siasatan awal juga mendapati tiada unsur jenayah dalam insiden itu, dan kes diklasifikasi sebagai mati mengejut, setakat ini.

Terdahulu, bomba melaporkan dua kanak-kanak dan seorang remaja lelaki ditemukan lemas selepas disyaki mandi di kolam latihan kereta kebal sedalam tujuh kaki (kira-kira 2.1 meter) di sebuah kem tentera di Temerloh. – BERNAMA

Baca ini > Maut selepas panas-panas, berendam dalam sungai