Saturday, April 13, 2024

Faizal Sidik New Works 2024 pamerkan 17 karya catan dan arca terbaharu

Pameran solo ke-5 yang mempamerkan 17 karya catan dan arca terbaru oleh pelukis inspirasi daripada kembaraan beliau ke New York pada musim panas yang lalu.

Tema Hitam (Black Series) ini dilanjutkan hasil daripada pameran-pameran sebelum ini iaitu “Songket Paintings (2017)” dan “Pixel (2023)”.

Melalui motif tradisi yang tidak asing lagi iaitu Flora dan Fauna yang diolah secara bersatah
telah memberi satu lagi rangkaian baru terhadap bentuk-bentuk alami berkonsepkan kontemporari.

Jelas pengkarya, dalam karya baru siri hitam ini pengkarya lebih menekankan penerokaan kepada bentuk bukan lagi kepada rupa warna-warni seperti karya sebelum ini.

Karya seni memiliki daya sesebuah teks yang adakalanya tidak perlu berbahasa.

Merujuk kembali makna apa itu seni visual, penulis memaknai seni visual sebagai setiap sesuatu yang terlahir daripada idea yang berpaksikan pengalaman langsung atau tidak langsung lantas diterjemahkan melalui karya.

Keunggulan rasa yang lahir dari jiwa pelukis itu adalah rangsangan jujur batinnya.

Maka pelukis mampu melahirkan atau mencipta idea yang indah itu secara zahir atau lebih
mudah ia dapat dilihat fizikalnya , dijiwai rasanya malah dapat dinilai manfaatnya menggunakan deria manusia terutamanya penglihatan, hati dan juga akal.

Pameran Solo terbaru Faizal Sidik “New Works” yang berkonsepkan minimalist dari segi warna serta imejan motif tradisi yang satahnya jelas diimplementasikan di persekitaran yang tidak terjangka oleh penulis malah terhurai kelakuan jiwa penulis ketika sesi pegamatan berlaku.

Saat leka menikmati kesan sebenar Hitam Putih, bentuk-bentuk dan ruang-ruang terjemahan pengkarya, terbongkar pula rasa yang lama dipersoalkan.

Apakah itu posisi makna yang sering terkait dalam karya-karya seni ? Dari satu karya ke satu karya, dari catan ke arca vertikalnya sarat menjelaskan persoalan tradisi melalui motif, rupa, ikon atau lebih mudah iaitu simbol.

Melalui pattern yang berulang-ulang pula, jelas memancarkan satu rasa pengamatan yang indah.

Mudah kata, indah itu adalah sesuatu yang rasional dan rasional itu adalah semua yang adakalanya boleh dikonstruksi dan direkonstruksi secara konseptual. Dari tradisi ke kontemporari.

Melanggar andaian-andaian biasa saat melewati ruang berpameran atau galeri yang sunyi dan mengkhayalkan.

Bunyi sekitar hiruk pikuk yang merencam keadaan membawa penulis bersama
perasaan mengamatinya dan menambah ketajaman fikiran dan tumpuan tanpa ada ruang untuk lintasan fikiran lain yang menganggu.

Mengakui bahawa ruang pengalaman estetika yang dikongsikan oleh pengkarya dirasai secara halus dan jujur dalam setiap inci sesi penghayatan pada karya.

Membawa rasa kerencaman seperti benar adanya situasi tidak aman dalam ketika
itu.

Setiap pameran seni, karya seni, sama ada lagu, persembahan, catan, arca, instalasi atau
seangkatan dengannya dapat dilihat nilai dengan cara yang berbeza.

Setiap sesuatu itu lahir dari pemerhatian yang niat asalnya adalah memberi mahupun berkongsi pengalaman kepada pemerhati.

Ia mampu menghiasi akal pemikiran dan juga pengamatan pemerhati dengan cara
yang pelbagai. Tanpa perlu mengejar peredaran yang terlalu terbuka dengan media berteknologi.

Pengkarya melalui karya catanya telah berjaya membawa makna penghayatan dari tradisi ke kontemporari, dari negatif ke positif, dari gelap terbitlah terang.

Hubungan diantara persekitaran buatan manusia serta arca pula seringkali memberi impak
pertanyaan melalui susun atur rongga arca motif pengkarya.

Apakah yang boleh dilihat, ditafsir malah di`seni`kan pemikiran oleh pandangan penulis.

Namun, persoalan itu telah dihapuskan dengan perlahan-lahan tanpa ada bantahan jiwa atau pemikiran apabila melihat dari sudut kayanya “idea” tradisi pengkarya.

Layan sahajalah…..

Jelas sudah, seni dan tradisi tidak dapat dipisahkan, namun tafsiran berkontemporari yang baik telah membuka ruang-ruang fahaman baru melalui persekitaran yang dibina oleh pengkarya.

Walaupun wujud kesamaran dan keseragaman pada makna atau motif karya-karya ini, pengkarya dengan kreatif telah membawa kepelbagaian satah atau bentuk persembahan dalam berkarya.

Perhubungkan diantara arca dan catan warna hitam putih dan serta motif tradisi ianya masih kekal dalam konsep Minimalist.

Diakui bahawa kemahiran pengkarya menghasilkan karya secara kepelbagaian dalam kesatuan ini sangat baik.

Gaya persembahan melalui persekitaran dan gabungan catan dan arca yang ditampilkan oleh pengkarya serba sedikit menarik jiwa dan akal penulis dari jauh menyimpang atau kehilangan akan konsep sebenar Minimalis Black Series ini.

Posisi makna akan Hitam Putih diterjemah melalui pandangan dan pengalaman pemerhati sendiri.

Pameran ini akan berlangsung dari 23 Disember 2023 hingga 27 januari 2024.

Pameran seperti ini harus diangkat dan dibawa ke peringkat lebih tinggi kerana konsep serta terjemahan melalui persekitaran buatan manusia itu yang secara autonominya telah terbuka untuk di tafsir.