Saturday, April 13, 2024

STR 2024: Kerajaan naikkan bayaran Fasa 1 sehingga RM500, dibayar mulai hari ini

KERAJAAN telah mengumumkan kenaikkan bayaran Sumbangan Tunai Rahmah (STR) Fasa 1 sehingga RM500 kepada isi rumah berbanding bayaran maksimum sebanyak RM300 pada tahun lalu.

Dengan ini, peruntukan bagi Fasa 1 telah bertambah sebanyak 26% kepada RM2.1 bilion daripada RM1.67 bilion pada tahun lepas dalam usaha untuk membantu sebilangan besar rakyat menangani peningkatan kos sara hidup.

“Setiap kali saya ketemu rakyat, perihal utama diutarakan adalah beban kos sara hidup yang kian meningkat lebih deras daripada pendapatan.

“Saya akur akan keperitan ini, justeru Kerajaan giat berusaha untuk memastikan bantuan Kerajaan dapat dipertingkat dengan lebih ketara agar masalah asas ini dapat dileraikan dan tiada rakyat dibelakang di bawah pentadbiran Kerajaan MADANI,” kata Perdana Menteri dan Menteri Kewangan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Mulai hari ini (Isnin, 29 Januari 2024), pembayaran STR Fasa 1 untuk penerima yang berdaftar di dalam pangkalan data STR akan dikreditkan ke dalam akaun bank mereka atau disalurkan secara tunai melalui Bank Simpanan Nasional (BSN) secara berperingkat mengikut kategori kelayakan STR masing-masing.

“Selaras dengan pendekatan Ekonomi MADANI untuk ‘meninggikan lantai’ dari segi kualiti hidup rakyat, Kerajaan akan mengutamakan dan memastikan isi rumah berpendapatan rendah terus diberi bantuan sewajarnya.

“Kerajaan MADANI sentiasa peka kepada keluhan rakyat dan akan terus menambahbaik STR dalam usaha membantu rakyat dalam mendepani cabaran kos sara hidup,” kata Perdana Menteri.

Setakat ini, seramai 8.2 juta individu yang layak telah berdaftar untuk STR 2024.

Walau bagaimanapun angka ini dijangka naik ke hampir 9 juta bagi tahun ini mengambil kira proses permohonan baharu dan kemas kini dibuka sepanjang tahun, berbanding setahun sekali sebelum ini.

Sekiranya nama pemohon tiada dalam pangkalan data STR, mereka perlu membuat permohonan bagi membolehkan proses verifikasi mengikut kategori kelayakan STR dimuktamadkan.

Semakan status kelayakan STR dan soalan lazim (FAQ) boleh didapati di Portal Rasmi STR, melalui pautan https://bantuantunai.hasil.gov.my atau https://manfaat.mof.gov.my/. Orang awam dinasihatkan agar sentiasa berwaspada dengan pautan yang tidak sahih oleh pihak tidak bertanggungjawab bagi merujuk informasi mengenai program STR. – REFLEKS!

Baca ini > Kerajaan naikkan had maksimum i-Saraan kepada RM500 setahun