Tuesday, March 5, 2024

Ducati Streetfighter V4 Lamborghini yang diinspirasikan oleh reka bentuk Huracán STO

DUCATI Malaysia telah mengumumkan pelancaran Ducati Streetfighter V4 Lamborghini baharu, bertempat di Ducati Kuala Lumpur baru-baru ini.

Menerapkan rekaan daripada Huracan STO yang ikonik, rim menampilkan reka bentuk anggun, diserlahkan lagi dengan nat pengunci titanium pada rim belakang.

Streetfighter V4 Lamborghini juga mempunyai tekstur dan kemasan gentian karbon yang sama seperti Lamborghini Huracan STO.

Bagi mudgad, bahagian bawah enjin, penutup sisi tangki bahan api dan penutup tempat duduk penumpang diinspirasi bolong masuk dan saluran aliran udara pada Huracan STO. Untuk sentuhan tambahan, pelana dibaluti Alcantara eksklusif.

Masih menggunakan enjin Desmosedici Stradale 1,103 cc, yang menawarkan keluaran kuasa 208 hp, memanfaatkan pengedaran desmodromik yang berasal dari MotoGP.

Enjin Stradale kini lengkap dengan klac kering dan ekzos titanium Akrapovic dan gentian karbon sebagai peralatan standard.

Jentera itu memaparkan livery unik yang menampilkan logo ikonik STO dan nombor 63, memberi penghormatan kepada tahun penubuhan Lamborghini.

Mengingati Huracán STO, cat dan skema warna yang digunakan pada Streetfighter V4 Lamborghini Edition adalah sama seperti kereta berkenaan. Warna utama badan ialah “Verde Citrea”, manakala warna kontras ialah “Arancio Dac”.

Ketua Pegawai Operasi Ducati Malaysia, Dennis Michael telah mengulas mengenai kerjasama ini di mana “Kami berbangga kerana 2 daripada motosikal ini berada di Malaysia.

“Ducati Streetfighter V4 Lamborghini bukan sekadar motosikal tetapi ia adalah simbol sejarah yang dikongsi bersama. Formula yang tidak dijangka ini menyatukan yang terbaik dari kedua-dua dunia, yang mencipta karya agung telah memikat peminat dan pengumpul motosikal di Malaysia.

“Ia juga menunjukkan bahawa pemilik dan peminat Ducati Malaysia kami adalah antara yang paling teruja di dunia.”

Semasa acara pembukaan yang diadakan di Ducati Kuala Lumpur, Ducati Streetfighter V4 Lamborghini edisi terhad pertama telah didedahkan dan ianya telah diserahkan kepada Datuk Nazir Hussin Akhtar Hussin.

Ducati Streetfighter V4 Lamborghini yang berharga RM460,900, pengeluaran yang terhad memastikan eksklusiviti untuk penunggang arif yang mencari gabungan gaya yang tiada tandingan dan prestasi dinamik. – REFLEKS!

Kredit : EnjinDotCom