Tuesday, March 5, 2024

ATF 2024 perkukuh hubungan bilateral Malaysia dan negara-negara ASEAN

MENTERI Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing telah menghadiri Forum Pelancongan ASEAN (ATF) 2024 pada 24 hingga 27 Januari 2024. Mesyuarat bilateral bersama perwakilan negara-negara ASEAN iaitu Laos, Kemboja dan Thailand yang diadakan telah membincangkan langkah-langkah untuk meningkatkan kerjasama pelancongan serta industri seni dan budaya.

Pemimpin-pemimpin dari tiga (3) negara tersebut Menteri Penerangan, Kebudayaan dan Pelancongan Laos Suanesavanh Vignaket, Menteri Pelancongan Kemboja Sok Soken dan Menteri Pelancongan dan Sukan Thailand Sudawan Wangsuphakijkosol.

Mesyuarat dua hala yang diadakan menekankan pertukaran idea serta maklumat bagi meningkatkan kerjasama dua hala Malaysia- Laos, Malaysia-Kemboja dan Malaysia-Thailand dalam bidang pelancongan, seni dan kebudayaan.

Setakat November 2023, Malaysia menerima seramai 15,373 pelancong dari Laos. Ia merupakan peningkatan yang memberangsangkan berbanding 7,010 pelancong pada 2022, susulan perjalanan antarabangsa yang mula kembali normal pasca pandemik COVID-19.

Menerusi mesyuarat ini, Malaysia mencadangkan untuk memperbaharui satu Memorandum Persefahaman (MoU) yang ditandatangani Malaysia dan Laos pada tahun 1998, bagi merancakkan lagi industri pelancongan dan kebudayaan kedua- dua buah negara pasca pandemik.

Kerjasama ini dilihat mampu meningkatkan pasaran Malaysia sebagai destinasi pelancongan pilihan semua, menerusi sokongan promosi di platform digital serta perkongsian dalam pembangunan sumber budaya dan warisan yang mampu menjadi tarikan pelancong. Ini juga secara tidak langsung bakal meningkatkan aliran pelancong kedua-dua negara.

Kedatangan pelancong bagi dari negara Kemboja pula meningkat lebih 27 ribu pelancong setakat November 2023 berbanding 2022, susulan perjalanan antarabangsa yang kembali normal.

Dengan Memorandum Persefahaman (MoU) dalam Kerjasama Pelancongan yang telah ditandatangani pada 2019 bersama negara Kemboja, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) Malaysia akan mengenal pasti dengan lebih lanjut bidang kerjasama yang boleh ditingkatkan lagi melalui hubungan bilateral yang lebih erat.

Selaras Dasar Pelancongan dan Kebudayaan Negara, MOTAC juga berhasrat untuk melindungi, memelihara dan mempromosikan warisan budaya Malaysia dan Kemboja. Kerjasama bersama agensi dan jabatan dari negara tersebut dalam merealisasikan hasrat ini amat dialu-alukan.

Manakala hubungan dua hala Malaysia bersama Thailand yang telah terjalin erat tidak dapat dinafikan dengan pelbagai usahasama. Antaranya, penubuhan pasukan petugas bersama khususnya dalam sektor pelancongan.

“Dengan ini, penambahbaikan dalam perhubungan udara, pembangunan pakej pelancongan menarik, kegiatan kempen promosi sedia ada di bawah Pertumbuhan Segi Tiga Indonesia-Malaysia-Thailand bagi (IMT- GT)seperti pelancongan pandu kendiri (self-drive tourism), warisan budaya, eko-pengembaraan dan pelancongan mesra Muslim. Dalam pada itu, destinasi pelancongan di Phuket, Langkawi dan kawasan utara Semenanjung Malaysia wajar dipromosikan dengan lebih giat. Kedua-dua negara harus sepakat dalam memajukan industri pelancongan secara agresif yang akan membawa keuntungan bersama untuk jangka pendek dan panjang.” kata Tiong.

Kerjasama serta pertukaran pandangan dalam usaha meningkatkan kelancaran perhubungan udara, memudahkan pergerakan pelancong, serta membangunkan pakej pelancongan bersama yang menarik akan terus dipergiatkan bagi kelestarian industri pelancongan dan kebudayaan kedua-dua buah negara.

“Dengan ini, diharapkan dengan pelbagai usahasama bersama negara-negara ASEAN, hubungan kerjasama serta kolaborasi akan terus meningkatkan ekonomi negara masing-masing, di samping memberi manfaat kepada kesejahteraan serta keharmonian rakyat.” kata Tiong lagi.

Negara-negara ASEAN merupakan komuniti yang bersatu padu, malah kami percaya pertumbuhan pesat dalam industri pelancongan ASEAN dapat dicapai melalui usahasama. Bukan sahaja di peringkat kerajaan, tetapi juga penglibatan aktif pemain industri dan masyarakat bagi memudahkan perkongsian sumber dan kepakaran.

Pada waktu yang sama, komunikasi efektif seperti pertukaran dialog serta dasar peringkat tinggi amat signifikan untuk menentukan matlamat bersama. Semestinya penggubalan dasar yang sesuai dan kondusif akan memberi impak kepada industri pelancongan negara.

Interaksi rentas sempadan yang lebih erat melalui kerjasama dan perkongsian pengetahuan di kalangan pemain industri pelancongan dapat menghasilkan produk pelancongan dan pengalaman yang lebih menarik. Ini secara tidak langsung akan menjadi tarikan pelancong, sejurus menggalakkan pertumbuhan industri pelancongan di rantau ASEAN. Kami percaya keazaman yang tidak berbelah bahagi akan membawa industri pelancongan ASEAN ke satu era kegemilangan baharu. – REFLEKS!

Baca ini > Menteri MOTAC turut jayakan lawatan kerja PM Anwar ke Sadao, Thailand