Tuesday, February 27, 2024

Agoda perluas Program Eco Deals di lapan negara ASEAN

PLATFORM pelancongan digital global, Agoda akan mengembangkan Program Eco Deals untuk menyokong lapan projek pemulihan alam sekitar di lapan negara ASEAN, termasuk Malaysia.

Program dengan kerjasama Tabung Alam Sedunia (WWF) itu diumumkan pada Forum Pelancongan ASEAN (ATF) Ke-27 yang sedang berlangsung di Vientine, Laos.

Ketua Pegawai Eksekutif Agoda, Omri Morgenshtern berkata, pihaknya akan meningkatkan sumbangan kepada empat kali ganda kepada WWF-Singapura, iaitu sebanyak USD $1 juta (RM4.7 juta) sebagai sebahagian daripada program tersebut.

“Sama seperti edisi program sebelum ini, Agoda akan menderma sebanyak USD $1 (RM4.70) untuk setiap tempahan yang dibuat ke atas hotel yang menyertai inisiatif tersebut.

“Dana ini akan menyokong pelbagai projek pemuliharaan WWF yang merangkumi usaha pemuliharaan marin, hutan dan hidupan liar, termasuk perlindungan harimau di Malaysia, jerung paus di Filipina, dan gajah di Thailand.

“Projek lain yang menerima bantuan tahun ini memberi tumpuan kepada pemuliharaan Saola di Vietnam, pemulihan ekosistem di Indonesia, sokongan renjer di Kemboja dan penambahbaikan tanah lembap bandar di Laos,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika Majlis Makan Tengah Hari Sempena ATF-27 bersama para pegawai tinggi kerajaan ASEAN dalam bidang pelancongan di Vientine, Laos hari ini.

Hadir sama, Menteri Kementerian Penerangan, Kebudayaan dan Pelancongan Laos, Suanesavanh Vignaket selaku Pengerusi Mesyuarat Menteri Pelancongan ASEAN Ke-27 dan Ketua Pegawai Eksekutif WWF-Singapura, Vivek Kumar.

Morgenshtern berkata, Program Eco Deals itu sedang menerima penyertaan rakan kongsi penginapan secara aktif dan akan dibuka kepada pengguna pada 3 Mac hingga 3 Disember 2024. – REFLEKS!

Baca ini > AirAsia tambah penerbangan laluan Jakarta-Kuching mulai 8 Februari 2024