Monday, March 4, 2024

FRIM Forest Park Selangor dicalonkan sebagaI Tapak Warisan Dunia UNESCO

KEMENTERIAN Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) melalui Jabatan Warisan Negara (JWN) telah menghantar pencalonan tapak FRIM Forest Park Selangor (FRIM FPS) kepada pihak UNESCO untuk diangkat sebagai Tapak Warisan Dunia bagi sesi penilaian 2024/2025. Dokumen pencalonan tersebut telah dikemukakan kepada pihak sekretariat UNESCO di Paris melalui Pejabat Delegasi Tetap Malaysia ke UNESCO Paris pada 29 Januari 2024.

Usaha pencalonan tapak ini telah bermula sejak tahun 2017 yang mana dokumen Tentative List telah dihantar kepada pihak UNESCO pada 31 Januari 2017. Justeru itu, keputusan bagi pencalonan ini dijangka bakal diketahui pada Jun/Julai tahun 2025 dengan proses penilaian sekitar 18 bulan bermula dari tarikh penghantaran dokumen pencalonan.

Penyenaraian di bawah World Heritage List UNESCO amat diingini oleh banyak negara kerana ianya merupakan pengiktirafan tertinggi di peringkat dunia bagi tapak warisan. Selain dapat memberikan promosi dan mengetengahkannya di peringkat dunia, pengiktirafan ini juga memperlihatkan komitmen Malaysia dalam melindungi tapak-tapak warisan di Malaysia.

Pengiktirafan ini juga secara tidak langsung akan mengangkat visibiliti Malaysia di mata dunia sebagai produk pelancongan yang mampu memberi peluang ekonomi kepada negara melalui industri berkaitan. Sehingga kini, sejumlah 1199 tapak dari seluruh dunia telah berjaya diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia di bawah 1972 Convention Concerning the Protection of the World Cultural and Natural Heritage.

Penyediaan dokumen dossier pencalonan dibuat dengan penglibatan beberapa agensi berkaitan terutama pihak Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM), Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam dan diselaraskan oleh pihak JWN bagi memastikan dokumen tersebut memenuhi kriteria yang telah ditetapkan UNESCO.

Pada masa sekarang, Malaysia telah mempunyai empat (4) Tapak Warisan Dunia UNESCO iaitu Taman Negara Gunung Mulu (2000), Taman Kinabalu (2000), Bandar Bersejarah Selat Melaka, Melaka dan George Town (2008) dan Warisan Arkeologi Lembah Lenggong (2012). Manakala keputusan pencalonan bagi tapak Warisan Arkeologi Kompleks Gua Taman Negara Niah, Sarawak bakal diketahui pada bulan Jun/Julai tahun 2024 yang mana sekiranya berjaya, merupakan Tapak Warisan Dunia UNESCO yang kelima di Malaysia.

Malaysia juga sedang dalam usaha untuk mencalonkan beberapa lagi tapak sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO pada masa akan datang iaitu Taman Negeri Royal Belum dan Pusat Kawalan Kusta Negara.

Kementerian ini ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pihak atas sokongan dan kerjasama yang telah diberikan daripada pelbagai agensi Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Selangor terutama FRIM dalam memastikan usaha pencalonan dapat berjalan dengan lancar. Selain itu juga bantuan turut diperolehi daripada pihak Kementerian Pendidikan Malaysia termasuk pihak Pejabat Delegasi Tetap Malaysia ke UNESCO Paris dan Suruhanjaya Kebangsaan UNESCO Malaysia (SKUM).

Kementerian juga berharap agar pencalonan ini berjaya mendapat pengiktirafan bagi menaikkan lagi nama Malaysia di persada antarabangsa dalam usaha kita untuk memastikan warisan negara terus dilindungi agar dapat disampaikan kepada generasi akan datang. Kementerian berharap usaha ini akan memberi nilai tambah kepada FRIM FPS sebagai salah satu produk pelancongan utama di Negeri Selangor dan seterusnya dapat menjana ekonomi kepada komuniti, negeri dan Malaysia. – REFLEKS!

Baca ini > UNESCO beri pengiktirafan kepada teater tradisi Mek Mulung