Saturday, April 13, 2024

Mohd Irwan Mohd Mubarak dilantik sebagai Pengerusi Bank Rakyat

KEMENTERIAN Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) mengumumkan pelantikan Datuk Mohd Irwan Mohd Mubarak sebagai Pengerusi Bank Rakyat berkuat kuasa pada 2 Februari 2024.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick dalam satu kenyataan berkata, pelantikan tersebut adalah berdasarkan ciri kepimpinan dan pengalaman luas beliau sepanjang menggalas tugas sebagai Pemangku Pengerusi sejak 1 November 2022 lalu.

“KUSKOP berkeyakinan penuh dengan kelayakan, pengalaman dan kredibiliti beliau untuk menggalas amanah serta mendukung misi dan visi Bank Rakyat dalam meneruskan sokongan terhadap ekosistem koperasi dan keusahawanan yang progresif selari dengan hasrat Malaysia Madani,” ujar Datuk Ewon.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Bank Rakyat, Datuk Dr. Mohammad Hanis Osman berkata, Jawatankuasa Pengurusan dan seluruh warga kerja Bank Rakyat mengalu-alukan pelantikan Datuk Mohd Irwan sebagai Pengerusi baharu Bank berkenaan.

“Menerusi pengalaman luasnya, beliau dapat memimpin pelaksanaan Pelan Perniagaan 2024 dan Pelan Strategik jangka panjang yang meletakkan Bank Rakyat pada landasan yang tepat untuk mencapai prestasi yang mampan di samping menyampaikan pengalaman terbaik pelanggan,” tambah Dato’ Dr. Mohammad Hanis.

Datuk Mohd Irwan yang mempunyai pengalaman lebih daripada 21 tahun dalam bidang litigasi, undang-undang korporat dan syarikat serta pengurusan pematuhan telah dilantik sebagai Ahli Lembaga Pengarah Bank Rakyat pada 24 Julai 2020 dan beliau juga menganggotai pelbagai jawatankuasa peringkat Lembaga Pengarah Bank Rakyat. – REFLEKS!

Baca ini > Disangka ‘Prank’, Rupanya Rezeki Menang Emas 500 Gram – Dato’ Amirul Rahman