Monday, March 4, 2024

Robozeta: Produk Animasi Tempatan Didik Kanak-Kanak Cegah Sikap Negatif

Robozeta adalah sebuah siri animasi kanak-kanak yang mengambil inspirasi super sentai dan telah dibangunkan dalam tempoh lapan tahun.

Ujar penerbitnya, Mohd Hafifi Johari, setakat ini pembikinan siri animasi tersebut memasuki musim keempat dan di TV Okey (RTM), akan ditayangkan musim kedua.

“Konsep siri animasi ini adalah tentang moral. Contohnya setiap episod, akan ada raksasa yang muncul. Raksasa ini mewakili sifat-sifat negatif.

“Misalnya episod satu, yang muncul adalah raksasa malas. Maka pasukan Robozeta akan membanteras gejala malas itu,” katanya kepada Refleks.my.

Mohd Hafifi berkata demikian semasa ditemui Refleks.my di perkarangan Perbadanan Putrajaya sempena Hari Terbuka Putrajaya 2024.

Sementara itu, Pengurus Projek Red Circle Studio, Mohd Hafiz Abd Samad berkata, siri animasi Robozeta sebenarnya telah pun memasuki persada antarabangsa.

BACA JUGA > Pengambilan Sesi Julai, Kolej KEDA Tawar Tujuh Kursus Berkaitan TVET

“Siri animasi Robozeta telah pun memasuki pasaran Singapura pada tahun 2020, diikuti Indonesia dan Vietnam serta menjalani proses alih suara di Amerika Syarikat.

“Untuk jangka masa panjang, kami akan sertai acara di luar negara yang melibat pemasaran dan penjualan, yang melibatkan IP kami” katanya. – Refleks.my

———

Ingin siarkan berita / produk / jenama / perniagaan anda dalam Refleks.my? Hubungi En. Ludfi di talian +6012-3717156 untuk keterangan lanjut.