Monday, March 4, 2024

TLDM terima empat buah bot pemintas FIC G2000 Mk II tingkat keupayaan banteras jenayah rentas sempadan

TENTERA Laut Diraja Malaysia (TLDM) baru-baru ini menerima penyerahan empat buah bot pemintas laju (FIC) G2000 Mk II yang dibina Syarikat Gading Marine Industry Sdn. Bhd. (Gading Marine) mepertingkatkan asset dalam usaha membendung dan menyekat kegiatan jenayah rentas sempadan di perairan pesisir pantai Sabah.

Penyerahan di Pangkalan TLDM Kota Kinabalu, Sabah itu disaksikan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Pengarah Urusan Gading Marine, Datuk Ir Jamalolail Mohd Yatim menyerahkan aset berkenaan kepada Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Abdul Rahman Ayob.

Perolehan FIC G2000 Mk II ini melibatkan tiga fasa dengan jumlah keseluruhan aset yang akan diterima sebanyak 13 buah kapal dan ia akan diserahkan secara berperingkat.

Empat buah FIC G2000 Mk II fasa pertama ini telah dibina sepenuhnya di fasiliti limbungan Gading Marine di Kampung Acheh, Sitiawan, Perak dan ia berjaya disempurnakan dalam tempoh 16 bulan.

Mohamed Khaled Nordin menyaksikan simbolik penyerahan kapal pemintas laju FIC G2000 Mk II antara Jamalolail Mohd. Yatim (kanan) kepada Tan Sri Abdul Rahman Ayob (dua kiri) di Pangkalan TLDM, Sepanggar baru-baru ini. Foto: TLDM

Perolehan FIC G2000 Mk II ini melibatkan tiga fasa dengan jumlah keseluruhan sebanyak 13 buah FIC akan diterima secara berperingkat-peringkat.

Terdahulu pada Februari 2021, TLDM telah pun menerima sejumlah enam buah FIC G2000 Mk I yang mana aset ini turut dibina oleh GMISB melalui Projek Perolehan Operasi Benteng (Op Benteng).

Kesemua empat kapal pemintas laju itu akan ditempatkan di Markas Wilayah Laut 2 (MAWILLA 2), Sandakan bagi memperkasa tahap keselamatan maritim terutamanya di perairan Sabah Timur selain bertindak sebagai aset pelengkap atau ‘force multiplier’ kepada TLDM.

Kapal pemintas laju atau FIC ini direka khas dengan ciri-ciri kecekapan, kelajuan, dan ketepatan bagi membolehkan TLDM bertindak dengan pantas dalam mencegah aktiviti jenayah yang berlaku di dalam perairan negara.

Aset-aset sebegini terbukti efektif dalam membendung aktiviti rentas jenayah di sempadan termasuk mengekang kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI), penyeludupan, rompakan laut, pemerdagangan manusia dan pencerobohan nelayan asing terutamanya di perairan yang mempunyai kedalaman terhad atau cetek.

Demonstrasi ketangkasan FIC G2000 Mk II dalam mencegah dan mematahkan ancaman jenayah di perairan pesisir pantai. Foto: TLDM

Berbanding FIC terdahulu, FIC G2000 Mk II ini dilengkapi dengan Remote Control Weapon Station (RCWS) Escribano yang dipadankan dengan mesingan CANiK M2 Quick Change Barrel (QCB) 12.7mm. FIC G2000 Mk II dengan panjang 18 meter ini dilengkapi enjin yang lebih berkuasa dan berkemampuan untuk mencapai kelajuan sehingga 52 knot.

Selain itu, susun atur dalaman FIC G2000 Mk II ini juga telah ditambah baik bagi memberikan lebih keselesaan kepada kru ketika melaksanakan operasi.

Tambahan aset baharu Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) akan membolehkan pasukan operasi bertindak cepat dan pantas dalam menangani aktiviti jenayah rentas sempadan di perairan pesisir pantai di negara ini.

Panglima Tentera Laut, Laksmana Tan Sri Abdul Rahman Ayob berkata, ancaman terhadap keselamatan negara adalah dinamik dan sentiasa berubah maka, penggunaan aset sebegini amat penting kepada TLDM.

“Perolehan FIC ini adalah bukti komitmen TLDM untuk sentiasa siap siaga bagi menghadapi pelbagai cabaran yang mendatang, terutamanya dalam menangani ancaman bukan tradisonal dan asimetrik dengan lebih efektif.

“Ancaman bukan tradisonal adalah seperti jenayah rentas sempadan, penyeludupan, pemerdagangan manusia, rompakan di laut dan aktiviti pelanunan yang sentiasa membayangi keselamatan di perairan negara.

“Jadi perolehan FIC ke dalam Armada TLDM amnya dan Armada Timur khasnya, bertindak sebagai aset pelengkap atau force multipliers,” katanya semasa majlis penyerahan FIC G2000 Mk II di Pangkalan TLDM, Sepanggar baru-baru ini.

Mengulas lanjut katanya, FIC berperanan sebagai elemen sokongan pertahanan maritim kepada TLDM dalam meningkatkan keupayaan pengawasan dan pintasan terutamanya di perairan yang cetek dan berpulau.

“Saya juga ingin mengambil peluang untuk menekankan bahawa usaha untuk menangani ancaman bukan tradisonal tidak terhad kepada sesebuah agensi sahaja.

“Seperti yang dinyatakan dalam Dasar Keselamatan Negara 2021-2025 dan Kertas Putih Pertahanan, pendekatan pertahanan menyeluruh menekankan keperluan untuk setiap agensi kerajaan berkerjasama antara satu sama lain bagi membentuk kekuatan yang menyeluruh dan bersepadu.

“Oleh itu, saya memberi jaminan bahawa TLDM akan sentiasa bekerjasama dengan pasukan sahabat yang lain dalam memastikan usaha memelihara keutuhan dan melindungi kedaulatan negara dapat dilaksanakan dengan efektif dan efisien,” katanya.

Mengulas lanjut katanya, pembinaan FIC G2000 Mk II ini berjaya disiapkan tepat pada masanya seperti yang ditetapkan di dalam kontrak.

Kejayaan ini turut membuktikan bahawa industri pertahanan tempatan khususnya dalam sektor maritim juga mempunyai kebolehan dan berpotensi untuk lebih maju serta berdaya saing dengan industri pertahanan maritim di peringkat global. – REFLEKS!

Baca ini > MINDEF tingkat keupayaan aset, taraf keselesaan anggota pada Belanjawan 2024