Saturday, April 13, 2024

JIPS ‘kantoikan’ sarjan miliki RM3,313 ketika adakan operasi SJR

Petaling Jaya: Sarjan polis diambil tindakan selepas didapati memiliki wang tunai sebanyak RM3,313 ketika mengadakan sekatan jalan raya di sini, pagi hari ini.

Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata, wang tunai itu ditemui oleh sepasukan polis daripada Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman yang menjalankan pemantauan.

“Saya mengesahkan pemeriksaan itu dijalankan pihak JIPS di kawasan pentadbiran Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya pada 2.30 pagi terhadap sebuah unit trafik yang sedang menjalankan Op Alkohol di sini.

“Pemeriksaan dijalankan pasukan JIPS mendapati seorang daripada anggota trafik terbabit memiliki wang tunai sebanyak RM3,313 dan juga RM404 tunai yang ditemui di dalam kereta,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurutnya, satu kertas siasatan tatatertib sudah dibuka bagi mengenal pasti sumber wang tunai terbabit membabitkan unsur rasuah atau pun tidak.

Katanya, kesemua anggota terbabit kini sedang disiasat dan akan dikeluarkan daripada tugasan penguat kuasa sehingga siasatan selesai.

Kredit: Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil | Harian Metro

Baca ini > Lelaki didakwa cederakan anggota polis, langgar kereta peronda