Tuesday, February 27, 2024

CBP, ANGKASA jalin kerjasama tawar pembiayaan kepada kakitangan dan koperasi

KOPERASI Co-opbank Pertama Malaysia Berhad (CBP) dan Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) hari ini telah mengadakan satu majlis pertukaran Dokumen Kerjasama bagi dua kerjasama yang telah dipersetujui. Kerjasama ini adalah salah satu usaha dalam memperkukuhkan lagi hubungan kerjasama telah terjalin diantara dua institusi ini sejak sekian lama.

Menerusi kerjasama ini, CBP bakal menawarkan pakej pembiayaan peribadi kepada kakitangan ANGKASA pada kadar yang istimewa khas bagi kakitangan ANGKASA dengan pembayaran balik menerusi Potongan Gaji Majikan (PGM).

Ketua Pegawai Eksekutif CBP, Encik Khairil Anuar Mohammad Anuar berkata, kakitangan ANGKASA akan menikmati kadar pembiayaan peribadi yang rendah setanding dengan kadar yang ditawarkan kepada kakitangan awam.

Ketua Pegawai Kewangan CBP, Nor Aznizam Nor Azmi (2 dari kanan) menukar dokumen kerjasama bersama, Mohamad Darulnizam Mat Darus, Pengurus Besar Bahagian Perkhidmatan Kredit dan Pembangunan Kewangan ANGKASA (dua dari kiri) sambil disaksikan oleh Puan Hajah Nor Hidayah Omar, Timbalan Pengerusi CBP (3 dari kiri) dan Datuk Seri Dr Abdul Fattah Abdullah, Presiden ANGKASA (3 dari kanan)

Penawaran pakej istimewa ini bakal memberi kelebihan kepada kakitangan- kakitangan ANGKASA untuk dalam mendapatkan pembiayaan pada kadar yang lebih rendah berbanding institusi-institusi kewangan yang lain.

Selain itu, melalui kerjasama ini juga ANGKASA juga telah bersetuju untuk melaksanakan pembayaran balik potongan gaji kepada CBP melalui proses pelarasan (knock-off) melalui Sistem Potongan Gaji ANGKASA (SPGA).

“Pembayaran balik secara pelarasan ini akan memudahkan pihak CBP dalam mendapatkan bayaran balik daripada koperasi kerana tarikh pembayaran oleh ANGKASA akan diselaraskan kepada satu (1) tarikh sahaja pada setiap bulan berbanding cara pembayaran sekarang di mana tarikh bayaran adalah bergantung kepada tarikh proses bayaran perbendaharaan majikan peminjam kepada ANGKASA.

“Kerjasama ini dilihat bukan sahaja dapat memberi manfaat kepada CBP, tetapi juga kepada kakitangan ANGKASA dan koperasi yang mendapatkan pembiayaan daripada CBP,”katanya menerusi menerusi satu kenyataan.

Tambahnya lagi, kerjasama ini dapat meluaskan lagi capaian sasaran pelanggan CBP yang tidak hanya melibatkan individu, tetapi juga koperasi di negara ini. – REFLEKS!

Baca ini > CBP tawar hadiah lumayan melalui Kempen Hello CBP 2024