Tuesday, February 27, 2024

Perjalanan Yuna Bersama ITZY Untuk Ke Puncak Bukan Mudah

ANNYEONGHASEYO! Laluan penyanyi juga anggota ITZY iaitu Yuna mengecap puncak karier seni sekarang bukan mudah.

Ternyata ada cerita menarik di sebaliknya yang mana dia sebenarnya bukan anggota asal kumpulan itu.

Bertahun-tahun menjadi pelatih di agensi JYP Entertainment juga menuntutnya bertarung tahap keyakinan diri.

Ini kerana, prestasinya tidak sebagus pelatih lain dan ia memberi kesan dalam dirinya.

“Dalam kes pelatih JYP, surat notis dihantar untuk memaklumkan kedudukan mereka. Saya tidak pernah memasuki kedudukan teratas. Anggota lain ITZY sentiasa konsisten di Top 10.

“Apabila ITZY ditubuhkan, saya tidak termasuk pun. Ketika pembentukannya, saya berasa kedudukan diri masih di bawah dan takut sekiranya tidak akan diperkenalkan,” katanya.

Sentiasa dihantui perasaan kurang yakin, Yuna akui dia pernah ingin tukar bidang saja. Bukan kerana tidak minat, tapi dia percaya pelatih lain jauh lebih layak dipilih.

“Saya sudah tiga tahun menjadi pelatih dan berfikir bukan takdir saya dalam bidang ini. Bahkan, saya berkira-kira mahu berhenti dan kembali untuk menyambung belajar semula.

“Hati saya berkecai apabila asalnya gagal menyertai kumpulan itu. Perasaan tidak pasti sama ada saya akan lulus berat menghantui dan tidak dapat jadi anggotanya (ITZY) satu tamparan besar,” katanya.

Namun, ternyata tuah menyebelahi Yuna apabila terpilih akhirnya sebagai anggota ITZY. Sejak itu, dia berazam mahu lipat gandakan usahanya supaya tidak menjadi beban kepada kumpulan berkenaan.

“Sebaik saya dapat menyertai kumpulan itu, realiti tekanan lebih besar menghambat saya. Dalam teruja, saya letak usaha berganda demi pastikan diri bukan titik lemah dalam kumpulan,” katanya.

Disebabkan itu juga, Yuna sebenarnya agak terkejut apabila persembahan solonya mendapat pujian hebat. Katanya, pergelutan dihadapi ketika tempoh latihan dulu masih membekas dalam dirinya.

“Orang mengiktiraf dan memberi pujian kepada persembahan solo saya. Tapi, saya tak pernah terbayangkannya (terima pujian). Ketika zaman pelatih, saya kerja keras tanpa henti dengan misi berjaya diperkenalkan.

“Apabila berjaya, saya berterusan tanam keazaman tinggi demi memastikan saya tidak menjadi beban kepada kumpulan. Ia kerana, saya kekurangan dari segi kemahiran,” katanya.

Kredit: Georgie Joseph | Harian Metro