Monday, March 4, 2024

Manual etika kewartawanan bakal dilancarkan tidak lama lagi – Fahmi Fadzil

KEMENTERIAN Komunikasi akan melancarkan manual etika kewartawanan dalam masa yang terdekat.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, pihaknya telah bertemu dengan wakil Jabatan Penerangan semalam dan sudah melakukan sedikit penyelarasan.

“Kita jangkakan selepas Tahun Baharu Cina, kita akan mencari tarikh yang sesuai untuk melancarkan manual ini,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan Kementerian Komunikasi, di sini hari ini.

Beliau berkata, manual itu akan memberi penegasan kepada aspek tertentu termasuk pengesahan sesuatu berita dan beberapa fungsi lain.

“Insya Allah, dekat dengan tarikh itu dan setelah selesai sedikit lagi penelitian, kita boleh kongsi lebih banyak isi kandungannya,” katanya lagi.

Mengenai perkembangan pendaftaran Sistem Pangkalan Data Utama (PADU) dalam kalangan warga Kementerian Komunikasi, Fahmi berkata, pembabitan yang ditunjukkan amat menggalakkan dan semakin positif berbanding sebelum ini.

“Bagi sesetengah penjawat awam, mungkin mereka adalah ketua isi rumah dan proses mendaftar anggota keluarga juga sebahagian daripada proses itu (yang akan mengambil masa) tetapi langkah pertama ialah pendaftaran,” katanya.

Pada 2 Januari lalu, kerajaan melancarkan PADU iaitu pangkalan data utama negara yang selamat dan komprehensif ke arah digitalisasi dan penghasilan analitik yang tepat.

Semua rakyat Malaysia yang berumur 18 tahun ke atas digalakkan mendaftar dan mengemas kini maklumat ke dalam sistem itu. Ini bagi memastikan rakyat yang layak mendapat manfaat tidak tercicir daripada menerima subsidi bersasar, bantuan dan perlindungan sosial melalui sistem PADU.

Baca ini > Program Saya Digital@Lembah Pantai bantu mewujudkan kesedaran mengenai teknologi digital dan gaya hidup pintar