Tuesday, March 5, 2024

Tiket Terjual Habis Kurang Dua Jam, Konsert Siti Nurhaliza Di Singapura Ditambah Lagi Sehari

“Takkan boleh memuaskan semua, tapi insya-Allah inilah yang terbaik,” kata Ketua Pegawai Eksekutif SAH Entertainment yang juga penganjur Konsert Fenomena Datuk Seri Siti Nurhaliza Live In Singapore iaitu Sufi Rashid mengenai penambahan satu hari lagi konsert di The Star Theatre, Singapura pada 28 Jun depan.

Sufi yang juga penyanyi berkata, pihaknya bersetuju untuk menambah satu malam lagi untuk konsert penyanyi nombor satu negara selepas tiket pada 29 Jun habis terjual dalam tempoh kurang dua jam.

“Berita gembira khas untuk peminat Siti, dengan besar hati kami sudah bersetuju untuk menambah hari pada 28 Jun 2024 untuk konsert Fenomena Datuk Sri Siti Nurhaliza Live In Singapore.

“Sedalam-dalam terima kasih atas sokongan ikhlas anda semua. Daripada kami di SAH Entertainment, ia satu penghormatan untuk menganjurkan dua konsert bagi artis legenda buat julung kalinya,” katanya dalam satu pengumuman di Instagram rasmi SAH Entertainment.

Dalam masa sama, SAH Entertainment memaklumkan pihaknya turut memberi peluang kepada peminat yang sudah membeli tiket konsert pada 29 Jun untuk menukar kepada tarikh 28 Jun.

“Kepada yang menghantar mesej peribadi dan bertanyakan mengenai pertukaran hari konsert kalian tak perlu bimbang.

“Insya-Allah kami akan membuat perancangan yang rapi dan pilihan terbaik untuk anda pilih nanti. Maklumat lanjut akan dikongsikan tidak lama lagi,” katanya.

Terdahulu, Siti sekali lagi mencatat sejarah apabila tiket Konsert Fenomena Datuk Seri Siti Nurhaliza Live In Singapore yang bakal diadakan pada 29 Jun depan habis terjual dalam tempoh kurang dua jam.

Kredit: Berita Harian