Monday, March 4, 2024

Peringati iktibar Israk Mikraj, perjuang kemerdekaan Palestin – PM Anwar

DATUK Seri Anwar Ibrahim mengajak umat Islam memperingati iktibar peristiwa Israk Mikraj yang malar segar agar masyarakat berwaspada dan berubah.

Dalam perutusan sempena Israk Mikraj, Perdana Menteri menegaskan umat Islam harus mendokong usaha untuk memastikan keadilan ditegakkan, bermula dari dalam diri hingga kepada keadilan masyarakat.

Justeru, beliau sekali lagi berharap agar Palestin mengecapi kemerdekaan, selain mendoakan agar kezaliman dapat ditumpaskan, sekali gus umat terbela.

“Walhasil, umat dituntut agar istiqamah dalam mendirikan solat lima waktu, kasih dan ihsan terhadap fakir miskin serta membenam perilaku dusta dan nafsu serakah. Yang demikian itu syarat bagi melonjakkan kebangkitan dan kemajuan bangsa.

 

View this post on Instagram

 

A post shared by Anwar Ibrahim (@anwaribrahim_my)

“Ini turut terpakai dalam hal yang menggusarkan kita sekarang terkait pemerasan ke atas rakyat Palestin,” katanya dalam kenyataan di laman Facebook pada Rabu.

Dalam perutusan sama, Perdana Menteri turut menyingkap keistimewaan luar biasa yang diberikan kepada Rasulullah SAW, tatkala Baginda dibawa menembusi langit malam bagi menerima perintah baharu daripada Yang Maha Esa.

“Apatah lagi perjalanan itu sebagai mengubat hatinya yang pilu seusai pemergian suri hatinya Khadijah dan bapa saudara Abu Talib,” katanya.

Jelas Anwar, perjalanan Israk dan Mikraj menjadi penguat keimanan terhadap kerasulan Baginda, selain mengungkap 1001 iktibar yang dipertontonkan terkait soal akidah dan akhlak bagi seorang hamba. – REFLEKS!

Baca ini > Penjawat awam terima bonus RM2,000 23 Februari ini – PM Anwar