Monday, March 4, 2024

Had laju jalan persekutuan dikurangkan kepada 80 km/j

HAD laju semua jalan persekutuan yang sebelum ini adalah 90 kilometer sejam (km/j) kini dikurangkan kepada 80 km/j sempena perayaan Tahun Baharu Cina.

Kementerian Kerja Raya (KKR) dalam kenyataan berkata, pengurangan had laju sementara itu merupakan antara langkah keselamatan dan pemantauan yang diambil kerajaan.

Katanya, ini bagi meningkatkan keselamatan dan mengurangkan risiko kemalangan jalan raya yang kerap kali berlaku di musim perayaan.

Ia sejajar dengan Ops Bersepadu dan Kempen Keselamatan Jalan Raya Bersempena Perayaan Tahun Baharu Cina Peringkat Kebangsaan Tahun 2024 telah ditetapkan pada 8 hingga 13 Februari.

KKR juga memaklumkan bahawa kerja-kerja pembinaan jalan dan penyenggaraan jalan yang tidak kritikal dihentikan supaya tidak mengganggu aliran trafik sepanjang tarikh operasi kecuali kerja-kerja kecemasan.

Pengumuman ini sejajar dengan semangat dan aspirasi Program MyJalan yang dilancarkan KKR untuk semua pihak bersama-sama bertanggungjawab dalam memastikan keselamatan dan keselesaan pemanduan diutamakan terutamanya di Jalan Persekutuan. – REFLEKS!

Baca ini > Tol percuma mulai hari ini dan esok sempena Tahun Baharu Cina