Monday, March 4, 2024

Mangsa terjejas tanah runtuh Sg. Ruil tarik nafas lega

MANGSA tanah runtuh di Sg. Ruil, Cameron Highlands pada 12 Oktober lalu boleh menjalani kehidupan selesa selepas menerima kunci kuarters penempatan sementara bermula 1 Februari 2024 dari pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB) Pahang.

Pelbagai bantuan telah diberikan oleh agensi berwajib bagi meringankan beban 16 keluarga yang terjejas. Malah, Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kemajuan Desa & Wilayah Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi juga telah turut bersama mendengar taklimat oleh agensi berwajib ketika lawatan beliau pada 6 Jan 2024 serta berkesempatan menyantuni penduduk terlibat yang berteduh di Dewan Komuniti Sg Ruil.

Majlis penyerahan yang telah diadakan pada 5 Februari 2024 lalu, disampaikan oleh Pengurus Besar TNB Negeri Pahang Datuk Baderul Sham bin Saad. Ini merupakan majlis simbolik penyerahan kunci Kuarters TNB Sg Ruil kepada pihak JAKOA. Majlis turut dihadiri Ahli Parlimen Cameron Highlands merangkap Timbalan YDP Dewan Rakyat, Datuk Ramli bin Mohd Nor, ADUN Tanah Rata Ho Chi Yang, serta Ketua Pengarah JAKOA Datuk Hjh Sapiah binti Datuk Mohd Nor.

Pihak JAKOA juga menyampaikan setinggi penghargaan kepada pihak TNB yang telah menjalankan kerja-kerja baik pulih kuarters melibatkan cat, rewiring, piping secara CSR dengan nilai RM103 ribu dan pengecualian deposit sewaan selama tiga (3) bulan.

TNB juga berbesar hati dengan memberi sumbangan berupa periuk nasi elektrik bagi setiap ketua isi rumah (KIR) yang mendiami kuarters tersebut sehingga kerja-kerja pembaikan cerun dijangka selesai pada November 2025. – REFLEKS!

Baca ini > Majlis Santunan Kasih KKDW rai 210 penerima sumbangan Ramadan