Monday, March 4, 2024

Tabung Haji dijangka umum kadar dividen pada April ini

TABUNG HAJI (TH) dijangka mengumumkan tarikh agihan dan kadar dividen bagi tahun kewangan 2023 pada April selepas audit penuh dijalankan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar berkata, langkah itu perlu dilakukan susulan teguran Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) yang mengarahkan audit penuh dilakukan sebelum penentuan kadar dividen.

Pada masa yang sama katanya, pihak pengurusan TH juga perlu peringkat mengimbangi pembahagian dividen supaya tidak mengurangkan bantuan kewangan kepada jemaah haji.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar

“Pengauditan sedang dijalankan. Insya-Allah pada April nanti kita akan umumkan berapa jumlah dividen.

“Sekarang kita sedang mengimbangi antara kadar bayaran dividen dengan bantuan jemaah haji. Kalau kita beri dividen tinggi, ia akan kurangkan bantuan jemaah haji yang B40 dan juga M40.

“Saya harap kita dapat fikirkan dan cari jalan terbaik, bagaimana nak pastikan dividen munasabah diberikan kepada pendeposit dan pada masa sama tidak menjejaskan bantuan kepada bakal jemaah di bawah kategori B40 dan M40,” katanya di sini.

Beliau ditemui pemberita selepas menyantuni asnaf, Mohamad Salman yang juga dikenali sebagai ‘Frogman’ kerana mencari rezeki di ibu kota dengan mengenakan maskot katak.

Mohd Na’m menyampaikan sumbangan bakul rezeki dan wang tunai sebanyak RM1,000 kepada Mohamad Salman dan keluarga.

Pada tahun kewangan 2022, TH mengumumkan agihan keuntungan pada kadar 3.10 peratus kepada 8.7 juta pendeposit melibatkan transaksi RM2.65 bilion.

Baca ini > Malaysia terima 31,600 kuota haji tahun ini