Monday, March 4, 2024

Semoga sambutan pada tahun ini dapat menyemarakkan lagi kasih sayang antara semua kaum di negara kita. – PM Anwar

PERDANA MENTERI Datuk Seri Anwar Ibrahim menghadiri sambutan Tahun Baharu Cina 2024 anjuran Persatuan Cina Malaysia (MCA) di Wisma MCA, Jalan Ampang, di sini hari ini.

Ketibaan Perdana Menteri kira-kira jam 9.30 pagi disambut timbalannya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi; Presiden MCA Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong; Presiden MIC Datuk Seri M. Saravanan dan menteri-menteri kabinet.

Yang turut hadir pemimpin parti komponen Barisan Nasional (BN) bersama pasangan masing-masing.

Ini merupakan program pertama beliau hadiri sempena Tahun Baharu Cina tahun ini.

Anwar yang berpakaian merah diraikan dengan tarian singa dan ribuan masyarakat Tionghua hadir pada majlis yang sederhana namun cukup meriah.

Anwar yang juga Menteri Kewangan kemudian menggaul ‘yee sang’ bersama pemimpin lain termasuk Ahmad Zahid, Ka Siong dan Datuk Seri Mohamad Hasan yang juga Timbalan Pengerusi BN.

Pelbagai juadah enak disediakan buat para tetamu sambil acara hiburan turut disajikan di Dewan San Choon hari ini.

Anwar kemudiannya, turut memenuhi undangan rumah terbuka Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH).

“Semoga sambutan pada tahun ini dapat menyemarakkan lagi kasih sayang antara semua kaum di negara kita. Hidupkan nilai kebersamaan dan hidup berdamping kerana itu adalah resam negara yang berukun dan hidup aman damai menghormati antara satu sama lain.” Kata Anwar.

Selamat Tahun Baharu Cina kepada seluruh masyarakat Tionghua. – REFLEKS!

Baca ini > Berharap Tahun Naga bawa simbol kekuatan dan karisma – PM Anwar