Tuesday, March 5, 2024

Koperasi Tentera, Takaful Malaysia sumbang RM422,000 kepada Tabung Yayasan Veteran ATM

KOPERASI Angkatan Tentera Malaysia Berhad (Koperasi Tentera) dengan kerjasama Syarikat Takaful Malaysia Berhad menyumbang RM422,000 kepada Tabung Yayasan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Pengerusinya, Mejar Jeneral Roba’i Rahmat berkata, sumbangan yang disalurkan oleh Takaful Malaysia adalah sebanyak RM250,000 menerusi inisiatif Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) dalam program Cakna Veteran ATM.

Menurutnya, inisiatif itu turut memanfaatkan 500 orang golongan asnaf dari pelbagai negeri.

“Pihak koperasi turut mengagihkan zakat perniagaan bagi tahun kewangan 2022 berjumlah RM172,000 kepada yayasan.

“Kami mengharapkan lebih banyak organisasi dan entiti korporat lain dapat turut sama membantu dalam memberikan sumbangan kebajikan kepada anggota tentera, khususnya warga veteran,” katanya dalam satu kenyataan.

Turut hadir, Menteri Pertahanan merangkap Penaung Koperasi Tentera, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin; Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Veteran ATM, Mejar Jeneral (B) Shamsirudin Mohd Sharif; Ketua Pegawai Eksekutif Koperasi Tentera, Mohamad Khairul Anuar Mohamed dan Ketua Pegawai Pengedaran Syarikat Takaful Malaysia Berhad, Yassir Azlin Abdul Ghafar.

Beliau berkata, menerusi kerjasama dengan agensi luar, ia mampu meningkatkan kesejahteraan pesara tentera.

“Kami bersama agensi luar sentiasa berusaha untuk merealisasikan inisiatif Madani Kementerian Pertahanan dalam memastikan kebajikan dan kesejahteraan veteran ATM terus terbela serta sentiasa terpelihara.

“Bantuan seperti ini mampu memberikan suntikan moral dan dapat meringankan beban kos sara hidup dalam kalangan pesara tentera yang memerlukan,” katanya. – REFLEKS!

Baca ini > TLDM terima empat buah bot pemintas FIC G2000 Mk II tingkat keupayaan banteras jenayah rentas sempadan