Monday, March 4, 2024

Bukan Sekadar Muda Biasa, Tengku Nur Fazlin Irana Kuasai Nyanyian Pelbagai Bahasa

Dengan gaya yang tersendiri, Tengku Nur Fazlin Irana Tengku Dato’ Zainul Hisham berani tampil di pentas nyanyian dengan mendendangkan lagu pelbagai bahasa.

Lebih mengujakan, gadis Melayu kacukan Cina dari Pekan, Pahang ini berkata, keberanian itu datang daripada ibunya yang banyak mempengaruhi dirinya sejak dari kecil.

“Saya mula menyanyi sejak berusia lima tahun dan memasuki usia seawal 11 tahun, barulah saya belajar menyanyikan lagu Kantonis, Hakka, Hokkien dan sebagainya.

“Lebih-lebih lagi ibu saya memang seorang wanita berbangsa Cina dan gemar menyanyi. Kerana dialah saya mampu sampai ke tahap ini,” katanya kepada Refleks.my.

Tengku Nur Fazlin Irana berkata demikian kepada Refleks.my ketika ditemui dalam Majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina anjuran Gerakan di Menara PGRM, Cheras.

Mengulas tentang penglibatannya, Tengku Nur Fazlin Irana pernah sahaja menduduki tempat keempat dalam sebuah pertandingan nyanyian di Singapura.

“Namun selepas itu, saya mengorak langkah dengan menyertai World Championship of Performing Arts (WCOPA) dan berjaya mara ke separuh akhir.

“Selain WCOPA, saya turut menyertai pertandingan nyanyian di luar negara seperti di Beijing serta Hong Kong dan berjaya mendapat anugerah emas,” katanya. – Refleks.my