Monday, March 4, 2024

Safawi, Akhyar sah bersama Sang Penyu secara pinjaman

DUA bintang bola sepak kebangsaan, Safawi Rasid dan Akhyar Rashid secara sah bakal menyarung jersi Terengganu FC secara pinjaman selama semusim dalam persaingan Liga Malaysia 2024/2025.

Pengumuman mengenai penyertaan dua pemain sayap Johor Darul Ta’azim (JDT) itu ke dalam skuad Sang Penyu dibuat Terengganu FC dalam dua kenyataan berasingan hari ini.

Safawi, 27, merupakan anak kelahiran Dungun, Terengganu dan kembalinya beliau di bumi Terengganu umpama Sireh Pulang Ke Gagang.

Pemain itu pernah mendapat didikan Ketua Jurulatih Terengganu FC, Tomislav Steibruckner sebelum ini ketika mereka bersama-sama dalam T-Team FC pada 2015.

Bersama Terengganu FC, Safawi akan menyarung jersi bernombor 11 dan akan mengisi posisi sayap kanan.

Sementara itu, Akhyar, 25, bakal mengambil tempat yang ditinggalkan pemain import Terengganu FC musim lepas iaitu Sony Norde.

Pemain yang mempunyai kelajuan dan teknik kawalan bola yang cukup baik itu berjaya menarik minat Steinbruckner untuk meletakkannya dalam senarai pemain yang dimahukannya dalam skuad musim 2024/2025.

“Akhyar bakal menyarung jersi bernombor 33 dan pemain yang berasal Alor Star, Kedah ini adalah merupakan salah seorang pemain skuad kebangsaan yang telah mempamerkan aksi yang cukup meyakinkan dalam kempen saingan Piala Asia baru-baru ini,” kata kenyataan Terengganu FC.

Kehadiran kedua-dua pemain tersebut dijangka akan menambah keupayaan Terengganu FC untuk bersaing dalam Liga Malaysia terutama bagi menyaingi JDT yang sehingga kini bagai tiada tandingan.

Baca ini > Kerteh FC cipta sejarah kelab bola sepak pertama tubuh koperasi