Saturday, April 13, 2024

Nahas pesawat BK 160 Gabriel: Identiti dua mangsa dikenal pasti

IDENTITI dua mangsa pesawat ringan model BK160 Gabriel yang disahkan maut dalam nahas di sekitar kawasan kebun kelapa sawit, Kampung Tok Muda, Kapar telah dikenal pasti.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan memaklumkan, mengikut senarai manifest pesawat, mangsa yang terlibat adalah juruterbang, Daniel Yee Hsiang Khoon, 30 tahun.

Beliau berkata, seorang lagi mangsa adalah Roshaan Singh Naina yang berusia 42 tahun.

Terdahulu, Hussein mengesahkan dua individu yang terlibat dalam nahas tersebut meninggal dunia di tempat kejadian.

Menurut beliau, mangsa yang masing-masing berasal dari Johor dan Pulau Pinang itu dipercayai sedang melakukan penerbangan rekreasi.

Bagaimanapun, Hussein memaklumkan, proses mengeluarkan mayat mangsa sedang giat dijalankan kerana pesawat seberat kira-kira 1,300 kilogram (kg) itu terbenam lebih dua meter dalam tanah.

“Pasukan penyelamat daripada pelbagai agensi sedang berusaha mengeluarkan dua mangsa tersebut yang mana ketika ini kita percaya kedua-duanya telah terkorban.

“Mayat kedua-dua mangsa akan dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang untuk proses bedah siasat dan pengecaman sebelum diserahkan kepada ahli keluarga,” katanya.

Nahas tersebut melibatkan sebuah pesawat ringan model BK 160 Gabriel dengan nombor pendaftaran I-POOC yang terhempas di sekitar kawasan kebun kelapa sawit, Kampung Tok Muda, Kapar.

Pesawat berkenaan dikendalikan Air Adventure Flying Club telah berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang pada pukul 1.28 petang bagi penerbangan rekreasi.

Hubungan terakhir pesawat dengan pegawai kawalan trafik udara dilaporkan pada pukul 1.35 petang, namun tiada panggilan kecemasan diterima.

Baca ini > CAAM sahkan pesawat BK 160 Gabriel terhempas di Kapar