Saturday, April 13, 2024

Keputusan KBS Tolak Tawaran Jadi Tuan Rumah Sukan Komanwel 2026 Dipuji

Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mengumumkan keputusan Kerajaan untuk tidak menerima tawaran daripada Persekutuan Sukan Komanwel (CGF) sebagai tuan rumah temasya Sukan Komanwel 2026.

KBS berkata, mesyuarat Jemaah Menteri yang bersidang hari ini telah mengambil keputusan tersebut setelah meneliti semua aspek penganjuran dan implikasi.

“Delegasi daripada CGF telah bertemu Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh dan mengadakan sesi penerangan mengenai tawaran selaku tuan rumah itu yang turut dihadiri oleh Menteri Kewangan Kedua (Datuk Seri Amir Hamzah Azizan) pada 5 Februari 2024.

“Hasil pertemuan itu dibentangkan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri dan antara lain mengutarakan tawaran CGF berjumlah 100 juta pound (RM603 juta) dijangka tidak mampu menampung kos keseluruhan penganjuran temasya sukan berskala besar.

“Selain itu, impak ekonomi tidak dapat dikenal pasti dalam jangka masa singkat ini,” kata kenyataan itu.

KBS dalam pada itu berkata, Kerajaan mengucapkan terima kasih kepada CGF atas tawaran itu, namun menegaskan buat masa ini mahu memberi fokus kepada pembangunan sukan serta kebajikan dan kesejahteraan rakyat.