Saturday, April 13, 2024

Harimau Malaya tewas lagi kepada Oman

HARAPAN penyokong dan peminat bola sepak negara untuk melihat aksi balas dendam Harimau Malaya terhadap Oman tidak kesampaian apabila anak-anak buah Kim Pan-gon sekali lagi tewas 0-2 kali ini di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Dua jaringan pada minit-minit akhir separuh masa pertama dan penghujung perlawanan membuatkan skuad kebangsaan meniti jalan sukar untuk ke pusingan seterusnya dalam Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027.

Biarpun dibantu sorakan kira-kira 27,000 ekor Harimau Malaya di stadium keramat tuan rumah, namun segalanya bagai tidak menjadi kepada kesebelasan utama negara.

Oman memperoleh jaringan pertama melalui sepakan penalti oleh Omer Al Malki pada empat minit dalam tambahan di separuh masa pertama (minit 45+4″) selepas penjaga gol negara, Ahmad Syihan Hazmi menjatuhkan pemain lawan.

Jaringan kedua negara Asia Barat itu pula hadir menerusi Mohammed Mubarak Al Ghafri ketika masa tambahan sebelum tamat permainan (90+4”).

Kekalahan kedua kepada Oman menyaksikan Harimau Malaya kini berada ketiga Kumpulan D dengan tiga mata di belakang Kyrgzstan dan Oman.

Dalam aksi malam ini, Pan-gon membuat tiga perubahan dalam kesebelasan utama berbanding ketika tewas 0-2 kepada Oman di Muscat, Jumaat lalu memperoleh peluang terbaik pada awal permainan menerusi Arif Aiman Hanapi, namun percubaannya diselamatkan penjaga gol Oman, Ibrahim Al Mukhaini.

Perlawanan dalam separuh masa pertama menyaksikan pasukan Oman lebih banyak menguasai permainan dengan melakukan lebih banyak serangan berbahaya berbanding pasukan kebangsaan dan akhirnya memperoleh gol dicari-cari mereka di akhir separuh masa pertama.

Malaysia yang melakukan beberapa perubahan dalam separuh masa kedua dengan memasukkan pemain-pemain seperti Muhammad Akhyar Abdul Rashid, Paulo Josue, Brendan Gan dan Endrick Dos Santos bagi memperkuatkan serangan menampakkan perubahan corak permainan dengan lebih banyak menekan pasukan lawan.

Bagaimanapun, kebanyakan hantaran lintang yang dibuat oleh pemain negara berjaya disekat oleh barisan pertahanan dan penjaga gol Oman.

Barisan pemain Oman mengekalkan konsisten yang baik dalam mengekang asakan daripada Harimau Malaya. Beberapa percubaan tepat berjaya dibuat oleh pasukan pelawat. Syihan Hazmi berjaya menyelamatkan keadaan.

Pada minit ke-90(+4) permainan, Oman menghukum Malaysia menerusi serangan yang bijak sekaligus menghadiahkan jaringan kedua Oman menerusi Muhammed Al-Ghafri.

Malaysia akan berkunjung ke Bishkek untuk bertemu Kyrgzstan pada 6 Jun sebelum menerima kunjungan Chinese Taipei pada 11 Jun untuk perlawanan terakhir kumpulan.

Baca ini > Malaysia tewas 0-2 dengan Oman