Saturday, April 13, 2024

Umat Islam perlu pertahan tradisi ilmu, akliah Al-Azhar, kata PM Anwar

PERDANA Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa umat Islam di negara ini untuk terus pertahankan tradisi ilmu serta akliah, yang dihidupkan oleh Universiti Al-Azhar (Al-Azhar), Mesir.

Beliau berkata perkara itu harus dipertahankan, agar dapat menimbulkan kesedaran meluas umat Islam di rantau Asia Tenggara termasuk Malaysia.

“Sejarah Islam mutakhir ini tidak terpisah daripada sejarah perubahan dan islah yang dibawa oleh Al-Azhar, ini sebati dengan seluruh garis perjuangan dan kesedaran umat Islam di Asia Tenggara termasuk Malaysia,” katanya.

Perdana Menteri berkata demikian menerusi video perutusannya yang ditayangkan pada Majlis Sambutan Hari Al-Azhar Sedunia 2024M/1445H di Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya, semalam.

Anwar berkata selain itu, Malaysia menikmati satu hadiah besar kerana mempunyai rantaian hubungan yang akrab dengan Al-Azhar dan beliau sendiri disambut baik oleh Sheikh Al-Azhar Al-Imam Al-Akbar Sheikh Prof Dr Mohammad Ahmad Tayyib.

Anwar turut berkata Mohammad Ahmad Tayyib juga telah diundang untuk mengadakan kunjungan ke Malaysia dan perkara itu harus dimanfaatkan umat Islam di negara ini.

“Beliau (Mohammad Ahmad Tayyib) menerima undangan untuk datang ke Malaysia. Saya percaya kita akan manfaatkan bukan sahaja untuk dapat bersama berkumpul dengan jemaah alumni Al-Azhar, tetapi akan memanfaatkan waktu itu untuk merencanakan program dimanfaatkan kepada umat islam Malaysia keseluruhannya.

“Saya percaya rakan-rakan alumni Al-Azhar akan memainkan peranan penting untuk mengaturkan program, yang akan dapat memberi manfaat kepada rakyat dan umat Islam seluruhnya,” kata beliau.

Sambutan Hari Al-Azhar Sedunia 2024M/1445H yang diadakan sempena genap 1,084 tahun penubuhannya itu, dianjurkan oleh Rabitah Antarabangsa Alumni Al-Azhar (WOAG) Malaysia.

Majlis berkenaan turut dihadiri Presiden WOAG Malaysia Prof Datuk Dr Mohd Fakhrudin Abdul Mukti dan Duta Besar Mesir ke Malaysia Ragai Tawfik Said Nasr. – BERNAMA

Baca ini > NCER sumbang RM197 bilion daripada jumlah pelaburan diluluskan