Saturday, April 13, 2024

Azizan dilantik Pengerusi baharu LTAT, Mohammad Ashraf Ketua Eksekutif

LEMBAGA Tabung Angkatan Tentera (LTAT) mengumumkan pelantikan Jeneral (B) Tan Sri Azizan Ariffin sebagai Pengerusi baharu dan Mohammad Ashraf Md Radzi sebagai Ketua Eksekutif baharu berkuat kuasa 1 April 2024.
Dalam kenyataan hari ini, LTAT memberitahu, Azizan mempunyai banyak pengalaman dan kepintaran kepimpinan, selepas berkhidmat dengan cemerlang dalam Angkatan Tentera Malaysia selama 40 tahun, antaranya sebagai Panglima Angkatan Tentera ke-17, iaitu yang pertama daripada Tentera Udara Diraja Malaysia.
“Latar belakang beliau yang luas dalam urusan ketenteraan, diplomasi dan kemajuan kepimpinan akan memainkan peranan penting untuk memimpin LTAT ke arah objektif strategiknya dan meningkatkan peranan untuk menyokong kebajikan anggota angkatan tentera dan keluarga,” demikian menurut kenyataan itu.
Sementara itu, Mohammad Ashraf akan memegang jawatan sebagai Ketua Eksekutif selepas berkhidmat sebagai Ketua Pegawai Kewangan LTAT sejak Mac 2020.
“Sepanjang tempoh perkhidmatannya, beliau melaksanakan pengurusan kewangan, meneraju strategi kewangan organisasi dan memastikan tanggungjawab fiskal.
“Kepimpinan beliau menyumbang kepada agenda transformasi organisasi, membawakan pemulihan tahap dividen kepada kadar yang mampan, kedudukan kewangan yang dipertingkat serta keberkesanan operasi yang lebih baik,” kata kenyataan itu. – REFLEKS!