Saturday, April 13, 2024

Sempat Cuci Mata Sampai Penat Di Starvendors Tapi Tak Larat Nak Berpusing Balik!

Penganjuran hari pertama Starvendors KLCC Mega Raya Fest 2024 menyaksikan ribuan pengunjung hadir bermula 8 malam 29 Mac sehingga Subuh 30 Mac.

Seorang pekerja swasta, Zaini Ibrahim, 42, berkata, Pusat Konvesyen Kuala Lumpur (KLCC) menjadi pilihan kehadirannya kerana terdapat pelbagai kemudahan.

“Tarikh 29 Mac hingga 1 April memang hot. Sana-sini ada event. Namun saya pilih untuk datang ke KLCC sebab mudah parking dan parking banyak.

“Saya ucapkan tahniah kepada Star Vendors Event Sdn Bhd atas penganjuran event ini namun mungkin ada beberapa perkara perlu ditambah baik,” katanya.

Sementara itu, Nur Dahlia Mohd Fikri berpendapat, sistem masuk bermula di Dewan 5 dan hanya boleh keluar di Dewan 4 boleh membuatkan pengunjung malas untuk enjoy.

“Apabila kita dah masuk dan ikut laluan yang ditetapkan, ingat boleh berpatah balik ke tempat yang nak dituju pada mula-mula tadi.

“Ada benda yang saya minat dekat Dewan 5, saya terpaksa abaikan sebab takkan saya nak kena keluar dan masuk balik untuk ulang laluan itu semula,” katanya.

Bagi Zaini, pihak penganjur mungkin mengambil pendekatan itu untuk mengawal trafik dan mengelakkan kesesakan namun ia merugikan peniaga dan pelanggan.

“Ia macam memang sempat cuci mata sampai penat di Starvendors namun tidak semua orang larat untuk berpusing balik.

“Jadi pengunjung cuma ada pilihan untuk berbelanja semasa baru masuk atau merancang untuk berbelanja sebelum keluar,” katanya.

Nur Dahlia berharap hal demikian mungkin boleh diperhalusi dengan harapan pada Sabtu dan Ahad, pengunjung dan peniaga masing-masing berpuas hati.