Saturday, April 13, 2024

Polis tahan suami isteri disyaki bekal senjata api kepada lelaki Israel

POLIS memberkas pasangan suami isteri warga tempatan yang disyaki membekalkan senjata api kepada seorang lelaki warga Israel yang ditahan di sebuah hotel di Jalan Ampang, Kuala Lumpur, Rabu lalu.

Memetik laporan BH Online, suspek berusia 42 dan 40 tahun itu ditahan kira-kira pukul 7.15 malam semalam.

Kedua-dua suspek telah ditahan di sebuah bazar Ramadan di Kuala Selangor oleh Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman.

Siasatan polis di kediaman kedua-dua suspek itu kemudiannya menemukan sepucuk pistol yang diletakkan dalam beg galas dalam sebuah kereta jenis Honda Jazz milik mereka.

Maklumat sumber memberitahu, suspek lelaki yang ditahan itu disyaki individu bertanggungjawab membekalkan senjata api kepada lelaki warga Israel yang memasuki negara ini menggunakan pasport Perancis.

Difahamkan, pasangan terbabit akan direman hari ini untuk siasatan lanjut.

Terdahulu, seorang lelaki tempatan turut ditahan di Cameron Highlands, Pahang kerana dipercayai menjadi pemandu kepada lelaki Israel itu sejak memasuki negara ini pada 12 Mac lalu.

Pada masa ini polis masih menjalankan siasatan bagi mengenal pasti motif utama lelaki warga Israel terbabit memasuki negara ini selain tujuannya memiliki enam pistol dan 200 butir peluru.

Semalam, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, pihaknya telah menahan seorang lelaki warga Israel bersama enam pucuk pistol di sebuah hotel di Jalan Ampang, Kuala Lumpur.

Beliau berkata, lelaki berusia 36 tahun itu dipercayai memasuki Malaysia pada 12 Mac lepas menggunakan pasport Perancis dari Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Beliau berkata siasatan awal mendapati suspek, yang turut memiliki pasport Israel, dipercayai datang ke Malaysia untuk membunuh rakan senegaranya susulan masalah keluarga.

Razaruddin juga berkata semua senjata yang dirampas daripada suspek dipercayai diperoleh di Malaysia dan tidak menolak kemungkinan lelaki itu mempunyai rangkaian di dalam negara.

Antaranya ialah Glock 19 Mariner, Glock 19 Gen4, Smith & Wesson, SIG Sauer serta Stoeger dan semua senjata dibeli menggunakan mata wang kripto.

Suspek ditahan reman selama empat hari hingga 31 Mac dan kes disiasat mengikut Seksyen 12 Akta Pasport serta Seksyen 7 Akta Senjata Api.

Baca ini > Polis tahan lelaki warga Israel bersama 6 pucuk pistol – KPN