Saturday, April 13, 2024

Kerajaan komited perkasakan TDM – Khaled

KERAJAAN melalui Kementerian Pertahanan (Mindef) akan terus komited untuk memperkasa Tentera Darat Malaysia (TDM) dan memantapkan kebajikan dan kesejahteraan warganya termasuklah dalam soal perumahan dan penyelenggaraannya, kata Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

“Insya-Allah, kita akan menyokong segala permintaan TDM.

“Meskipun ada kekangan kewangan, kerajaan tetap memberikan yang terbaik kepada TDM antaranya , peruntukan untuk Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) sendiri telah meningkat beberapa kali ganda berbanding tahun sebelumnya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menghadiri majlis berbuka puasa serta menyantuni 600 warga TDM di Pusat Latihan Tentera Darat (PULADA) pada Sabtu.

Khaled berkata, TDM telah diberikan peruntukan sebanyak RM199.5 juta dan daripada jumlah ini, RM17.3 juta telah diperuntukkan untuk RKAT di Johor. Manakala RM1,055,413 juta pula disalurkan untuk RKAT di Kem PULADA.

Sebagai rakyat Malaysia, kita mempunyai peranan masing-masing, khususnya dalam kebersamaan kita bersama Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Tanggungjawab untuk menjaga kedaulatan dan keselamatan negara adalah menjadi tanggungjawab bersama, ”katanya.

Katanya lagi, domain darat ini memerlukan bukan sahaja dedikasi dan kecekapan anggota malah kecanggihan dan kecukupan aset yang terkini dan berteknologi tinggi.

Dalam lawatan itu, beliau telah diberi taklimat berkenaan penghuni yang mendiami RKAT Desa PULADA, kerja-kerja senggaraan serta pembaikan yang telah dilaksanakan.

Dalam pada itu, beliau turut menyampaikan Mock Cheque peruntukan keseluruhan senggaraan RKAT TDM berjumlah RM199.5 juta kepada Panglima Tentera Darat (PTD) Jeneral Tan Sri Dato’ Muhammad Hafizuddeain Jantan.

Peruntukan senggaraan berjumlah RM1,055,413 juta turut diserahkan kepada Komandan PULADA, Kolonel Baharin Bais manakala RM1,870,870 kepada Panglima 7 Briged, Brigedier Jeneral Dato’ Mohamad Suria Mohamad Saad.

Khaled berkesempatan menyantuni 2 anggota penghuni RKAT iaitu Ketua Detasmen Cawangan Serigala PULADA, Staf Sarjan Iwot Gungkil dan Pembantu Perubatan, Koperal Morrison anak Ferlix.

Beliau kemudiannya menyempurnakan penyampaian sumbangan kebajikan kepada 30 orang warga 7 Briged dan PULADA melibatkan anggota dan waris yang mempunyai penyakit kronik dengan kerjasama Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) dan Yayasan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (YLTAT) .

Ujar beliau, satu penghormatan buat dirinya apabila dapat berbuka puasa bersama warga TDM di sini dan setinggi -tinggi ucapan terima kasih atas pengorbanan dan khidmat bakti yang dicurahkan oleh TDM kepada negara. Semoga Allah SWT memberkatinya , insya -Allah.

Turut hadir, Timbalan Panglima Tentera Darat (TPTD), Leftenan Jeneral Dato’ Tengku Muhammad Fauzi Tengku Ibrahim; Panglima Medan Barat Tentera Darat (PMB TD), Leftenan Jeneral Dato’ Pahlawan Hj Muhammad Huzaimi Sabri; Panglima Medan Timur Tentera Darat (PMTTD), Leftenan Jeneral Dato’ Mohd Sofi Md Lepi dan Ketua Staf Tentera Darat (KS TD), Leftenan Jeneral Dato’ Zaidan Atan.

Kredit: SuaraTV

Baca ini > Mohamed Khaled lawat RKAT Desa Tun Abdul Razak, serah peruntukan senggaraan RM9.3 juta