Saturday, April 13, 2024

Tulus Ikhlas arahan Aaron Aziz menyentuh hati – Bank Rakyat

Tulus Ikhlas merupakan sebuah filem pendek arahan dan lakonan Dato’ Aaron Aziz yang berdurasi 7 minit dan  mengangkat perjalanan emosi seorang kanak-kanak sebelum Aidilfitri.

Ia mengisarkan keprihatinan seorang kanak kanak berusia 10 tahun, Rayyan yang menyedari realiti kehidupan anak-anak yatim yang tidak seberuntung dirinya dan adik perempuannya.

Ketua Pegawai Pemasaran dan Komunikasi Bank rakyat, Nizam Sani berkata, filem pendek tersebut amat menyentuh hati dan sejajar dengan konsep Malaysia Madani.

Menurutnya, filem pendek ini bukan hanya sekadar filem fiksyen tetapi sebuah pesanan yang kuat dan disampaikan dengan cara yang begitu halus serta berkesan.

“Sudah menjadi kelaziman setiap penonton disajikan dengan iklan raya yang sarat dengan mesej setiap kali menjelang Hari Raya Aidilfitri.

“Filem fiksyen ini berkait dengan tanggungjawab masyarakat untuk menghulurkan bantuan terutama dalam bulan Ramadan kepada mereka yang memerlukan selain berpuasa,” katanya.

Tulus Ikhlas telah ditayangkan di platform media sosial bermula 2 April dan menampilkan model, Sharifah Husna Syed Mustaffa dan dua pelakon cilik, Aaron Yusof Raj dan Adreana Jameela Raj.

Filem terbitan Razor’s Edge Picture Sdn Bhd bukan sahaja menceritakan tentang kehidupan serta kasih sayang namun perjuangkan keperluan untuk membantu mereka yang kurang beruntung.