Saturday, April 13, 2024

‘Pihak media sosial begitu melepas tangan’ – Fahmi Fadzil

SATU pertemuan akan diadakan oleh pihak Kementerian Komunikasi dalam membuat keputusan untuk memastikan media sosial di negara ini selamat digunakan.

Menteri berkaitan Fahmi Fadzil berkata, hal ini kerana beliau melihat pihak media sosial ketika ini begitu ‘melepas tangan’ dalam isu-isu keselamatan yang boleh dimanipulasi dengan mudah.

“Pada waktu ini saya lihat pihak media sosial melepas tangan, mereka cuma letakkan varifikasi yang boleh dengan begitu mudah sesiapa sahaja boleh tidak bercakap benar tentang umur, usia mereka.

“Saya akan adakan pertemuan dalam masa terdekat kerana kita mungkin perlu membuat beberapa keputusan terutama untuk pastikan media sosial ini selamat digunakan.

“Selain (media sosial ini) tidak digunakan oleh kanak-kanak di bawah usia 13 tahun,” katanya dalam sidang media pada Majlis Apresiasi Pengamal Media bersama Fahmi Fadzil, semalam.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil bersalaman serta beramah mesra dengan wakil media ketika hadir ke Majlis Apresiasi Pengamal Media bersama YB Fahmi Fadzil di Hotel Aloft, Kuala Lumpur, semalam

Pada masa sama, Fahmi mengingatkan para pempengaruh untuk berfikir secara mendalam sebelum membuat keputusan menghasilkan sebarang konten yang mahu dimuat naik di media sosial.

Jelasnya, hal ini kerana, tiada siapa tahu capaian konten yang dimuat naik dan ada kemungkinan ia memberi impak negatif kepada pengguna media sosial di bawah umur.

“Saya rasa dalam era di mana perkara-perkara yang kita sebut boleh disalah tafsir atau pun disalah erti, kita perlu memikirkan konten yang kita hasilkan dengan lebih mendalam.

“Bagi saya dan pihak kerajaan yang kita cukup risau adalah bagaimana konten ini boleh mendatangkan kesan positif atau negatif, yang kita risaukan negatif terutama kepada kanak-kanak bawah umur,” katanya lagi.

Mengulasi mengenai lagu hari raya usahawan Datuk Seri Aliff Syukri yang menerima kritikan hebat netizen, beliau sudah meminta pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) untuk melihat perkara ini.

“Sekiranya pihak MCMC mendapati ada sebarang keperluan untuk melakukan siasatan maka MCMC boleh menyiasat,” katanya. – REFLEKS!

Kredit: UtusanTV

Baca ini > RUU tubuh Majlis Media Malaysia kini di peringkat akhir – Fahmi Fadzil