Saturday, April 13, 2024

Amalkan budaya kelestarian alam sekitar semasa menyambut Aidilfitri

PUTRAJAYA: Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) menyeru orang ramai untuk mengamalkan budaya kelestarian alam sekitar ketika menyambut Aidilfitri.
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Nik Nazmi Nik Ahmad berkata satu daripada amalan kelestarian alam sekitar yang boleh diamalkan ialah mengelakkan pembaziran makanan serta menggunakan perkakas lebih mesra alam.

“Kita rasa nak jimat kos, tak nak cuci pinggan (jadi) kita banyak guna barangan plastik atau kertas dan sebagainya untuk jamuan.

“Sebenarnya kita ada pilihan untuk kita menggunakan perkakas yang biasa atau kalau terpaksa guna elakkanlah plastik dan polisterin, kalau terpaksa juga pakailah yang kertas sekurang-kurangnya ia boleh terurai berbanding plastik tidak akan terurai,” katanya kepada media selepas Majlis Perhimpunan Bulanan dan Majlis Iftar NRES, di sini pada Selasa.
Beliau berkata semua pihak perlu memainkan peranan memastikan pilihan yang dibuat semasa menyambut hari raya tidak memberikan impak negatif kepada alam sekitar.

“Saya berharap kita semua dapat menjadikan hari raya tahun ini lebih positif dari segi kelestarian alam dan kita dapat membudayakan perkara tersebut,” katanya.
Sementara itu, semasa berucap Nik Nazmi berkata semua warga NRES termasuk jabatan dan agensi di bawah kementerian seharusnya menjadi contoh kepada amalan-amalan lestari bagi mengurangkan kesan alam sekitar seperti mengurangkan penggunaan plastik sekali guna.

“NRES juga melalui Yayasan Hijau Malaysia giat menggalakkan cara hidup hijau menerusi alternatif kepada peniaga dan orang ramai untuk melupuskan sisa makanan kepada bentuk baja kompos.

“Kini, sisa itu bukan lagi sampah tidak bernilai, sebaliknya mempunyai ‘masa depan baharu’ dan boleh memberi manfaat kepada alam sekitar, apabila diproses menjadi baja kompos. Usaha ini diharap dapat mengurangkan sisa makanan daripada terus dibuang ke dalam tong sampah,” katanya.

— BERNAMA