Saturday, April 13, 2024

Australia ketatkan peraturan visa pelajar kekang penghijrahan lebih tinggi

SYDNEY: Australia akan mula menguatkuasakan peraturan visa lebih ketat untuk pelajar asing minggu ini berikutan data rasmi menunjukkan kadar penghijrahan mencecah satu lagi rekod tertinggi yang berkemungkinan akan memburukkan lagi pasaran sewa kediaman.

Mulai esok, keperluan bahasa Inggeris untuk visa pelajar dan siswazah akan ditingkatkan, manakala kerajaan akan mempunyai kuasa untuk menggantung penyedia pendidikan daripada mengambil pelajar antarabangsa jika mereka berulang kali melanggar peraturan.

“Tindakan pada hujung minggu ini akan terus menurunkan tahap penghijrahan sambil menyampaikan komitmen kami dalam strategi migrasi untuk membaiki sistem yang rosak yang kami warisi,” kata Menteri Dalam Negeri, Clare O’Neil dalam satu kenyataan.

“Ujian pelajar tulen” baharu akan diperkenalkan dalam usaha berterusan membanteras pelajar antarabangsa yang ingin datang ke Australia terutamanya untuk bekerja, manakala pengenaan syarat “no further stay” akan digunakan ke atas lebih banyak visa pelawat.

Langkah itu susulan tindakan pada 2023 bagi menutup konsesi era COVID-19 yang diperkenalkan kerajaan terdahulu termasuk waktu bekerja tanpa had untuk pelajar antarabangsa.

Australia meningkatkan jumlah penghijrahan tahunannya pada 2022 bagi membantu perniagaan menggaji pekerja mengisi kekurangan selepas pandemik membawa kawalan sempadan yang ketat dan menghalang pelajar dan pekerja asing keluar selama hampir dua tahun.

Bagaimanapun kemasukan pekerja asing dan pelajar secara tiba-tiba memburukkan lagi tekanan ke atas pasaran sewa yang sedia ketat.

Data dikeluarkan Biro Perangkaan Australia pada 21 Mac menunjukkan penghijrahan meningkat 60 peratus kepada rekod 548,800 pada tahun itu hingga 30 September 2023, lebih tinggi daripada 518,000 orang pada tahun berakhir Jun 2023.

Secara keseluruhan, penduduk Australia meningkat 2.5 peratus – kadar terpantas dalam rekod – kepada 26.8 juta orang hingga September 2023.

Rekod penghijrahan didorong pelajar dari India, China dan Filipina – telah mengembangkan bekalan buruh dan mengekang tekanan gaji, tetapi ia memburukkan lagi pasaran perumahan yang sudah ketat yang mana kekosongan sewa berlegar pada rekod terendah dan kos pembinaan yang tinggi menyekat bekalan baharu.

O’Neil berkata tindakan kerajaan sejak September menyebabkan penurunan tahap penghijrahan, dengan pemberian visa pelajar antarabangsa baru-baru ini turun sebanyak 35 peratus berbanding tahun sebelumnya. – BERITA HARIAN