Wednesday, June 26, 2024

Al-Mashaaer Al-Mugaddassah Metro Line Sedia Kendali Pergerakan Ribuan Jemaah

MAKKAH: Al-Mashaaer Al-Mugaddassah Metro Line bersedia mengendalikan pergerakan ribuan jemaah antara Tanah Suci Makkah, Arafah, Muzdalifah dan Mina pada musim haji tahun ini.

Menurut Saudi Press Agency (SPA), perkhidmatan metro itu membantu para jemaah melaksanakan ibadah mereka dengan lancar dan lebih selesa.

Laporan itu menyatakan perkhidmatan kereta api sepanjang 18 kilometer itu merentasi sembilan stesen dan mempunyai kapasiti 72,000 penumpang sejam.

“Metro ini bergerak pada kelajuan 80 kilometer sejam dan menempuh jarak antara Mina dan Arafah kira-kira 20 minit.

“Ia mempunyai 17 set tren, setiap satunya dengan kapasiti 3,000 penumpang, membantu membawa lebih 350,000 jemaah ke pelbagai lokasi. Stesen pula direka untuk memudahkan pergerakan jemaah,” menurut laporan itu.

Menurut laporan itu, bagi menampung jumlah jemaah yang ramai, ruang menunggu dipisahkan dari kawasan menaiki tren, dan platform memasuki tren juga dipisahkan dengan platform berlepas.

Laporan itu memaklumkan dengan adanya lif, ia memudahkan jemaah untuk mengakses platform terutamanya warga emas dan Orang Kurang Upaya (OKU).

Metro berkenaan juga mesra alam sekitar kerana beroperasi menggunakan kuasa elektrik dengan pelepasan sifar karbon, menyumbang kepada pemeliharaan alam sekitar di kawasan Tanah Suci dan kesihatan menyeluruh para jemaah. — BERNAMA