Thursday, July 25, 2024

Bank Rakyat perkenal Kad Kredit-i untuk warga PDRM

BANK RAKYAT memperkenalkan Kad Kredit-i khusus buat warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebagai simbolik keprihatinan Bank terhadap peranan, jasa dan khidmat bakti perwira negara yang mengekalkan ketenteraman dan keselamatan awam serta negara.

“Inisiatif ini sebagai usaha meningkatkan kesedaran masyarakat untuk beralih kepada transaksi tanpa tunai (cashless) bagi memenuhi keperluan gaya hidup yang semakin digital dan ringkas menerusi penggunaan e-pembayaran melalui kad kredit,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Bank Rakyat, Dato’ Dr. Mohammad Hanis Osman semasa berucap pada Majlis Pelancaran Kad Kredit-i Bank Rakyat Edisi Khas PDRM.

Menurut beliau, selain mempunyai reka bentuk yang menarik dan moden, Kad Kredit-i ini turut menawarkan pelbagai faedah eksklusif dan ciri utama khas untuk memenuhi keperluan kewangan dan memberi manfaat kepada anggota PDRM.

“Caj perkhidmatan pengeluaran tunai istimewa sebanyak 1.5% atau fi minimum RM15 yang mana lebih tinggi di mesin juruwang automatik (ATM) dan kaunter Bank Rakyat berbanding dengan kadar semasa sebanyak 3% atau minimum RM20 untuk pengeluaran wang tunai.”

“Kadar keuntungan serendah lapan peratus setahun untuk tiga tahun pertama, di samping pelan bayaran ansuran sebanyak kosong peratus tanpa sebarang caj dikenakan.”

“Ciri-ciri lain termasuk, tiada yuran tahunan, tiada caj tambahan bagi transaksi luar negara yang melibatkan pertukaran wang asing, perlindungan takaful keluarga secara percuma serta khairat kematian sebanyak RM1,000,” jelas beliau.

Di samping itu, beliau turut menjelaskan bahawa anggota PDRM yang melanggan Kad Kredit-i khas ini berpeluang untuk menyertai kempen ‘Raya Bergaya Bersama Jakel’ yang menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan berjumlah RM20,000 bersempena dengan bulan Ramadan dan Syawal pada kali ini.

“Anggota PDRM juga berpeluang menikmati penjimatan sebanyak lima peratus bagi pembelian petrol dan diesel pada setiap hari Khamis di mana-mana stesen minyak seluruh negara menerusi kempen ‘Petrol Khamis!’ yang akan bermula dari 14 Mac hingga 31 Disember 2024,” tambah beliau.

Justeru, beliau menggalakkan seluruh anggota PDRM untuk melanggan Kad Kredit-i khas ini bagi menikmati pelbagai faedah eksklusif.

“Saya berharap agar pelancaran Kad Kredit-i Edisi Khas ini dapat memanfaatkan anggota PDRM dalam memenuhi keperluan kewangan mereka, sekali gus membantu merancakkan ekonomi digital negara sejajar dengan aspirasi Ekonomi MADANI: Memperkasa Rakyat.”

“Anggota PDRM yang berminat boleh membuat permohonan dengan mengunjungi cawangan Bank Rakyat yang berhampiran atau melayari laman web rasmi https://brick.bankrakyat.com.my,” kata beliau. – REFLEKS!

Baca ini > Bank Rakyat lancar kempen Ramadan Raya Tulus Ikhlas, tawar hadiah lebih RM750,000