Wednesday, June 26, 2024

Dua maut, 37 cedera kemalangan babitkan bas persiaran, treler

DUA maut, manakala 37 lagi cedera dalam kemalangan membabitkan bas persiaran dan treler di Jalan Kuantan-Segamat berhampiran simpang tiga Bahau di sini, awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Rompin, Deputi Superintendan Nor Azman Yusof berkata, mangsa yang meninggal dunia dikenali sebagai Hasnatul Adilah Hassan dan Mohd Adi Hasan.

Beliau berkata, kejadian jam 1.30 pagi tadi itu mengakibatkan bas yang membawa 39 penumpang termasuk dua pemandu terbalik di cerun jalan.

Beliau berkata, bas berkenaan dalam perjalanan membawa guru dari Sekolah Kebangsaan (SK) Jeram Masjid Tanah, Melaka bersama anak mereka ke Terengganu untuk menghadiri program penanda aras.

Nor Azman berkata, mangsa Hasnatul Adilah yang juga guru berusia 48 tahun meninggal dunia di tempat kejadian, manakala Mohd Adi meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Muadzam Shah, Rompin.

“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Muadzam Shah untuk bedah siasat. Mangsa yang cedera pula dibawa ke hospital berkenaan untuk mendapatkan rawatan. Pemandu treler terbabit tidak mengalami kecederaan.

“Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila keadaan gelap di simpang tiga Bahau dan pemandu bas itu telah hilang kawalan dan melanggar sebuah treler yang membawa muatan gelung besi sebelum terbalik di cerun jalan,” katanya kepada pemberita di lokasi kejadian.

Nor Azman meminta saksi kejadian supaya tampil membantu pihaknya menjalankan siasatan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Ismail Abdul Ghani berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kemalangan itu pada jam 12.31 tengah malam.

Katanya, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Muadzam Shah tiba ke lokasi kemalangan pada jam 12.56 tengah malam.

“Operasi menyelamat turut dibantu anggota dari BBP Chini, BP Segamat, BBP Jalan Abdullah, Segamat dan BBP Jempol, polis Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

“Anggota bomba terbabit mengeluarkan semua mangsa yang berada di dalam bas yang terjunam ke dalam cerun. Semua mangsa yang cedera dihantar ke hospital untuk menerima rawatan,” katanya.

Kredit: ND

Baca ini > Pemandu Axia maut dihempap lori simen