Thursday, July 25, 2024

Geely bangunkan bateri ‘short blade’, boleh pergi sehingga 1 juta km dan tahan 50 tahun

Geely Auto mengorak selangkah lagi ke hadapan dalam pembangunan teknologi EV dengan bateri lithium iron phosphate short blade baharu yang mampu memberikan jarak gerak sehingga satu juta kilometer dan tahan sehingga 50 tahun.

Menurut Geely, bateri tersebut menetapkan standard baharu dalam aspek keselamatan. Ia mempunyai diafragma yang ditambah baik, bersama-sama dengan pemisah berkestabilan tinggi yang dipadankan dengan elektrod untuk memberikan ketumpatan tenaga yang lebih tinggi.

Selain itu, ia juga menggunakan teknologi Self-Fusing pada permukaan elektrod untuk menghalang litar pintas sekiranya berlaku kemalangan.

Untuk membuktikan betapa selamatnya bateri ini, Geely menjalankan ujian tusukan yang menggunakan bukan satu atau dua, tetapi lapan jarum berukuran 5 mm secara serentak. Ia mendakwa tusukan jarum-jarum tersebut tidak mendatangkan sebarang kesan negatif walaupun dibiarkan selama satu jam.

Tidak cukup dengan itu, Geely turut menjalankan ujian tembakan menggunakan senapang dengan peluru 5.8 mm dan hasilnya, tiada sebarang pencucuhan termal yang berlaku.

Bateri ini juga menjalani enam ujian ekstrem yang melibatkan rendaman dalam air laut, persekitaran sejuk melampau, kikisan berkuasa tinggi di bawah pek, gilisan beban 26 tan, pelanggaran sisi dan pembakaran.

Terima kasih kepada rekabentuk bingkai grid, rongga penyerap tenaga, binaan Cell-to-Body (CTB) dan pelbagai ciri keselamatan yang lain, ia berjaya melepasi kesemua enam ujian.

Dengan bahan elektrod multi-element, bateri short blade Geely mampu mengurangkan tindak balas kimia dalaman, sekali gus memberikannya jangka hayat yang panjang.

Berdasarkan ujian yang telah dijalankan oleh syarikat itu, bateri ini boleh mencapai 3,500 kitaran atau bersamaan dengan jarak gerak sejauh satu juta kilometer.

Dengan purata jarak pemanduan mencecah 20,000 km setahun, bateri ini juga boleh digunakan sehingga 50 tahun. Ini secara tidak langsung meningkatkan nilai EV terpakai dan mengurangkan emisi karbon lebih 80,000 tan setahun.

Satu lagi kelebihan bateri ini adalah masa pengecasan yang pantas. Data ujian menunjukkan purata tempahan pengecasan 10-80 peratus yang diperlukan oleh bateri short blade adalah 17 minit 4 saat, hampir sembilan minit lebih pantas berbanding bateri long blade dengan kapasiti yang sama.

Selain itu, dalam keadaan suhu berada pada paras -30℃, kadar pengekalan kapasiti bateri long blade jatuh kepada 78.96 peratus, manakala bateri short blade mengekalkan 90.54 peratus kapasitinya.Geely